61% rakyat Malaysia lebih gemar guna saluran perbankan digital | DagangNews Skip to main content

61% rakyat Malaysia lebih gemar guna saluran perbankan digital

Perbankan digital

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 17 Mac. - Sebanyak 61% pengguna di Malaysia lebih gemar menggunakan saluran digital untuk berhubung dengan bank masing-masing semasa tempoh kesukaran kewangan.

 

Perkara itu dibuktikan dalam hasil tinjauan yang dijalankan firma perisian analitik global, FICO pada Disember 2020.

 

Semasa wabak pandemik COVID-19 global yang sedang memuncak, pengguna menunjukkan kesediaan untuk memanfaatkan perbankan digital serta kelebihan yang dimiliki institusi perbankan untuk terus mengembangkan tawaran.

 

Ketua Risiko Kitaran Hayat dan Pengurusan Keputusan FICO di Asia Pasifik, Aashish Sharma berkata, risiko jangkitan serta norma penjarakan sosial menyebabkan kadar kunjungan ke cawangan perbankan berkurangan pada tahun lalu selain mempercepat transformasi saluran perbankan digital di seluruh dunia.

 

"Kemampuan untuk menyampaikan dan mengurus pelbagai saluran selaras dengan pilihan pelanggan selain memberikan pengalaman yang lancar dan menarik merupakan satu cabaran. 

 

"Pelaburan dalam kaedah pengurusan dan komunikasi pelanggan yang merangkumi saluran dan produk silo serta kebolehan menyampaikan keputusan yang dipersonalisasikan dan diperbaiki menjadi kunci kejayaan perbankan digital," katanya dalam satu kenyataan.

 

Dalam tinjauan sama, 27% rakyat Malaysia lebih gemar berkomunikasi tentang kesukaran kewangan melalui perbankan dalam talian, 18% menggunakan aplikasi perbankan mudah alih mereka.

 

Dalam pada itu, sebanyak 8% daripada pengguna lebih gemar menggunakan perbankan telefon, manakala 6% berkomunikasi melalui e-mel dan 2% mahu menggunakan teknologi persidangan maya.

 

Beliau menambah, perkembangan yang sangat bermakna apabila mengetahui sesetengah pelanggan lebih gemar berurusan tentang isu kesukaran kewangan menggunakan perkhidmatan dalam talian yang pintar dan automatik seperti Perkhidmatan Komunikasi Pelanggan (Customer Communication Services, CCS) FICO® kami.

 

"Sekiranya pelanggan lebih gemarkan saluran digital semasa kesukaran kewangan yang merupakan saat paling sukar bagi mereka, saya melihat bahawa kaedah perbankan fizikal atau cawangan dijangka akan terus menurun," katanya lagi. - DagangNews.com