650 peserta buka tirai pertandingan memasak terbesar dunia Malaysia Culinary World Cup 2023 | DagangNews Skip to main content

650 peserta buka tirai pertandingan memasak terbesar dunia Malaysia Culinary World Cup 2023

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 21 Feb - Lebih 650 peserta tempatan dan antarabangsa menyertai pertandingan memasak sulung terbesar di dunia, Malaysia Culinary World Cup 2023 (MCW23) yang membuka tirainya hari ini di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur sehingga 23 Februari 2023.

 

Acara anjuran Pertubuhan Kulinari Malaysia Bersatu (MBCA) itu menyaksikan para peserta memasak secara serentak dalam usaha untuk mendapatkan pengiktirafan daripada Guinness World Records.

 

Pelancongan Malaysia mengesahkan bahawa MCWC23 merupakan platform terbaik untuk pakar dan peminat masakan untuk mempamerkan bakat mereka dan bersaing di mata dunia.

 

Pengerusi Penganjur dan Presiden MBCA, Cef Arthur Lim berkata, pihaknya teruja melihat begitu ramai cef berbakat dari seluruh dunia berkumpul untuk menyertai pertandingan ini. 

 

"Salah satu sorotan MCWC23 ialah kami membenarkan bukan sahaja cef profesional untuk bersaing tetapi juga mengalu-alukan tukang masak dari rumah untuk menjadi sebahagian daripada pertandingan dengan mempamerkan hidangan Malaysia kepada dunia," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Terdahulu, acara tersebut dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Khairul Firdaus Akbar Khan dengan diiringi Ketua Pengarah Pelancongan Malaysia, Datuk Zainuddin Abdul Wahab.

 

Duta MCW23, Marcus Teoh pula menyifatkan Malaysia memiliki ramai cef hebat yang mana bermula sebagai tukang masak di rumah. 

 

 

mcw

 

 

"Acara ini membolehkan kami memanfaatkan kemahiran dan melancarkan kedai makanan dan minuman kami," katanya.

 

Pertandingan selama tiga hari itu menampilkan 9 kategori utama dengan 62 subkategori, yang mana 40 daripadanya menampilkan masakan tempatan.

 

Kategori ini Termasuk Patisserie, Gastronomi Malaysia (21 hidangan Malaysia, termasuk Nasi Lemak, Nasi Ayam, Laksa, Burger Malaysia, Ulam, Ikan Sungai Malaysia), Masakan India, Masakan Cina, Masakan Panas Moden, Masakan Berasaskan Tumbuhan atau Vegetarian, Showmanship ( seperti Teh Tarik dan Roti Canai), masakan Jepun, masakan artistik dan juga Cabaran Kotak Hitam Makanan Warisan Malaysia.

 

 

mcw

 

 

Kategori ini akan dinilai oleh kira-kira 100 cef tempatan dan antarabangsa, termasuk cef selebriti terkenal tempatan, Liza Zainol.

 

Pada akhir pertandingan tiga hari itu, keputusan Guinness World Records akan diumumkan dalam acara tersebut.

 

MBCA juga berhasrat untuk menjadikan acara ini sebagai acara tahunan di negara lain, menjalin peluang perniagaan yang mampan untuk warga tempatan dan pemain industri makanan antarabangsa. - DagangNews.com