66 Tahun Merdeka:  Iktikad perpaduan dalam kalangan generasi muda demi  Malaysia Madani | DagangNews Skip to main content

66 Tahun Merdeka:  Iktikad perpaduan dalam kalangan generasi muda demi  Malaysia Madani

Peserta-peserta sambutan Hari Kemerdekaan ke-66 Malaysia menyertai sesi latihan di Putrajaya pada 23 Ogos 2023- - Gambar Perbadanan Putrajaya
Oleh Norazlinda Mohammad

"Kita semua adalah rakyat Malaysia, Kemerdekaan inilah yang menyatukan kita.  Ingatlah bahawa toleransi adalah kekuatan kita sebagai rakyat dan bangsa" – Tunku Abdul Rahman

 

 

MASIH terngiang-ngiang laungan keramat penuh bersemangat Merdeka! Merdeka! Merdeka! dilaungkan oleh Perdana Menteri Malaysia yang pertama atau lebih dikenali sebagai “Bapa Kemerdekaan” iaitu Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj tatkala membuka tabir lakaran sejarah kemerdekaan negara tercinta.

 

Malah Tunku Abdul Rahman pernah menegaskan tentang perpaduan adalah kekuatan asas kita sebagai rakyat dan sebagai sebuah negara yang berdaulat. 

 

Bulan ini, kita akan menyambut sekali lagi hari kemerdekaan pada 31 Ogos tahun ini dengan tema hari kebangsaan MALAYSIA MADANI:  Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan.  Tema hari kemerdekaan 2023 ini telah diumumkan oleh kerajaan pada 27 Mei lalu. 


 

Norazlinda Hj Mohammad
   NORAZLINA MOHAMMAD

 


Persoalannya adakah kita benar-benar Merdeka? Bebas daripada sebarang ancaman luar, penjajahan budaya, pengaruh pemikiran yang songsang, persaingan ekonomi serta taksub dengan elemen-elemen asing yang semakin menular menyerang generasi baharu kini yang seakan rapuh kesan daripada fenomena globalisasi, kemajuan teknologi, gajet dan Internet atau dikenali dunia tanpa sempadan.  

 

Kemerdekaan ini sangat mahal kerana kita mencapai dengan jasa, pengorbanan, keringat dan tangisan perjuangan perwira serta pemimpin-pemimpin yang terdahulu.

 

Semangat perjuangan dan kesatriaan tokoh-tokoh dan pejuang kemerdekaan seharusnya dihargai dan disambut oleh generasi muda yang merupakan pewaris bangsa dengan penuh penghayatan Nasionalisme. 

 

Bahkan, kemerdekaan perlu disambut bukan sahaja melaungkan Merdeka, mengibarkan bendera Jalur Gemilang atau menyanyikan lagu kebangsaan Negaraku beserta lafaz ikrar rukun negara semata-mata tetapi pada masa yang sama menghayati Sejarah Malaysia, bagaimana mendapat kemerdekaan dan mengenang perjuangan perwira negara dengan jiwa patriotisme. 

 

Semangat cintakan tanahair perlu dipupuk oleh setiap rakyat Malaysia terutama generasi baharu yang bakal menjadi pemimpin dan pelapis negara.

 

Di abad ke-21, negara sememangnya berhadapan dengan pelbagai konflik seperti krisis inflasi, kewangan, ekonomi, masalah sosial, peningkatan jenayah dan mendepani impak arus teknologi digital jika tidak dikawal selia dengan baik boleh merosakkan nilai-nilai murni, adab, budaya, etika yang selama ini menjadi paksi kepada budaya ketimuran. 

 

Kita tidak menolak kemajuan, pembaharuan atau kemodenan teknologi tetapi ia perlu seimbang dengan menjaga akar, budaya demi kemaslahatan kemakmuran, ketamadunan dan membentuk pembangunan yang mampan serta holistik. 

 

Ia juga menjadi pemangkin kepada kekuatan, keluhuran, keberanian dan kebangkitan semangat patriotisme yang perlu ada di dalam jiwa rakyat Malaysia demi untuk mempertahankan negara. 

 

Perkara ini perlu dipandang serius kerana generasi muda adalah belia harapan negara jika tidak dibentuk mengikut acuan yang baik, ia akan merosakkan peradaban, institusi sosial, mengancam keselamatan dan keharmonian negara Malaysia. 


 

parafrasa

 


Pada dasarnya, generasi muda tidak seharusnya alpa dan leka dengan apa yang ada pada hari ini. Mereka seharusnya peka dan sama-sama berganding bahu di dalam usaha menjayakan integrasi nasional dan pembinaan negara bangsa. 

 

Perkasa jati diri dengan memastikan arah, hala tuju yang betul agar kemerdekaan yang dikecapi sentiasa mekar berterusan dan seiring dengan kemajuan.

 

Pupuk Perpaduan dan Semai Integrasi Nasional

Lazimnya, negara kita yang tercinta merangkumi rakyat Malaysia dari semenanjung hinggalah kepada orang asli dari Sabah dan Sarawak yang mempunyai matlamat, harapan dan masa depan yang sama untuk pembinaan negara Malaysia yang harmoni dan berdaulat.

 

Ia juga melambangkan Malaysia sebagai keluarga besar yang terdiri daripada berbilang kaum, agama, etnik dan latar belakang budaya yang berbeza.  Integrasi Nasional amat penting kerana ia memupuk persefahaman yang jitu dan perpaduan pelbagai kaum, adat, budaya dan agama di Malaysia. 

 

Perkasa perpaduan kaum agar rakyat sentiasa bersatu padu, saling hormat menghormati dan sama-sama menjaga keamanan, kemakmuran dan keharmonian negara. 

 

Elakkan bermain dengan api iaitu isu sentimen yang merugikan atau mewujudkan ideologi yang bertentangan seperti mempersoalkan institusi raja, perkauman dan agama yang boleh mencetuskan perbalahan, kemarahan dan menjejaskan perpaduan rakyat. 

 

Ini selaras dengan konsep MALAYSIA MADANI yang ditekankan oleh Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu hormat dan tanam sifat ihsan, saling membantu bagi memastikan masyarakat hidup dengan sejahtera dan tidak bersengketa. 


 

madani

 


Tidak dinafikan cabaran besar yang dihadapi kini ialah bukan melawan dalam medan perang atau mengangkat senjata tetapi penguasaan unsur luar melalui penjajahan minda, budaya dan pemikiran. 

 

Antaranya, propaganda iaitu pengaruh atau dakyah, provokasi berbaur mesej subversif dan visual negatif yang semakin mengundang rasa kurang senang dalam kalangan pemimpin negara serta sukar dikawal di dalam media baharu, Internet dan halaman media sosial yang boleh menganggu, mengancam ketenteraman awam, keamanan negara dan perpaduan atau solidariti rakyat. 

 

Usah terjerat dengan permainan politik atau hasutan orang-orang yang berkepentingan, berniat menggugat kestabilan politik, ekonomi dan kesepaduan sosial dengan agenda bertentangan iaitu memecah-belahkan rakyat, menggugat keamanan, perpaduan, keharmonian dan kemerdekaan yang kita sedang kecapi.

 

Pelihara Maruah, Identiti Diri dan Imej Negara

Menurut takrifan World Health Organization (WHO), generasi muda merupakan kelompok masyarakat yang berusia di antara 10 hingga 25 tahun. Generasi ini sedang mencari identiti dan arah kehidupan yang menentukan masa hadapan mereka di masa akan datang.

 

Seharusnya generasi ini memahami erti kemerdekaan yang sebenar dengan merencana matlamat hidup, mendukung hasrat, menggalas harapan negara serta menyambut aspirasi bersama, berkhidmat di dalam pelbagai sektor pekerjaan dan menyumbang kepada pembangunan politik, sosial dan ekonomi negara. 

 

Mereka seharusnya bijak menggunakan teknologi maklumat dengan baik dan menapis segala kandungan atau pengaruh negatif yang bertentangan dengan agama dan budaya Malaysia. 

 

Budaya kuning atau hedonisme seperti pergaulan bebas, berpakaian kurang sopan, jelik dipandang, bertindik (piercing) atau bertatu di badan dan terjebak dengan kancah penyalahgunaan dadah, LGBTQ yang sememangnya racun, merosakkan diri, mencemar maruah keluarga dan imej negara. 

 

Ibu-bapa perlu ingat pendidikan bukan sahaja di dalam bentuk akademik tetapi penerapan kerohanian iaitu agama perlu seimbang sebagai benteng untuk generasi baharu dari hanyut dengan arus hegemoni teknologi dan dipengaruhi gejala negatif. 


 

parafrasa

 


Wahai anak muda, usah perjudikan nasib dengan keseronokan yang sementara.  Mantapkan jati diri anda agar sentiasa berjiwa kental dan gagah melawan anasir-anasir luar yang semakin merencam di era millenium ini. 

 

Ini bagi melahirkan generasi modal insan yang berkualiti, berperibadi mulia, dinamik, berpandangan jauh, berilmu serta mampu menggilap potensi diri yang seimbang dengan minda yang sihat, akhlak terpuji, rohani dan jasmani yang baik dan emosi stabil. 

 

Singkap Sejarah Kemerdekaan agar Terpelihara Generasi Masa Hadapan

Tiada lipatan sejarah, tiada masa hadapan ia umpama aur dengan tebing.  Generasi baharu perlu celik sejarah dengan mendapat pendedahan, penerangan yang baik dan menyeluruh mengenai Sejarah Malaysia dan bagaimana negara mencapai kemerdekaan. 

 

Rujuk dan baca buku, makalah-makalah mengenai sejarah pahlawan, menyelami kisah hidup bunga bangsa yang gugur, perwira negara yang mempertaruhkan nyawa dengan berjuang melawan musuh demi mempertahankan kedaulatan dan keamanan negara daripada dijajah. 

 

Begitu juga pengorbanan pemimpin-pemimpin di dalam membangunkan tanah air bagi memperkukuhkan pembangunan negara dari segi aspek politik, ekonomi dan sosial.

 

Kebaikan dari usaha menyingkap lembaran sejarah akan memberi iktibar, memperkasakan identiti diri, patriotik dan memperkuatkan pembinaan negara bangsa yang bersatu teguh bagi menghadapi apa jua cabaran yang mendatang. 

 

Pengajaran mata pelajaran Sejarah perlu lebih kreatif, berdaya cipta dengan menggunakan aplikasi terkini bagi menarik generasi muda agar minat menyelami Sejarah Malaysia dengan memaparkan cerita sebenar dan visual berkonsep digital; contohnya pemaparan tragedi 13 Mei 1969. 

 

Program menghayati sejarah perlu dilaksanakan secara konsisten dan padu di peringkat sekolah dan universiti agar generasi baharu lebih bertanggungjawab, mantap dan menghargai erti kemerdekaan.


 

parafrasa

 


Ibrah dari mempelajari sejarah akan memberikan kesan yang positif kepada generasi muda dengan meningkatkan kesedaran, pemahaman, kerjasama, cintakan tanah air, hormat menghormati dan hidup bertoleransi dengan mengurangkan jurang antara agama, kaum dan bangsa serta menyemai semangat perpaduan di kalangan masyarakat majmuk di negara ini.

 

Tuntasnya, jika dibandingkan negara-negara luar seperti Palestin, Myanmar, Rusia, Ukraine, Syria, Afghanistan yang bergolak, berperang dan berjuang hingga ke titisan darah demi sebuah kemerdekaan. Kita rakyat Malaysia seharusnya bersyukur, bermastatutin di dalam negara yang permai. 

 

Hakikatnya, perpaduan menjadi kunci utama kepada negara yang aman, stabil dan harmoni. Hargai dan syukuri nikmat keamanan, keharmonian negara Malaysia yang perlu dijiwai oleh seluruh rakyat Malaysia khususnya generasi muda yang menjadi harapan tonggak negara di dalam membangunkan negara Malaysia agar kekal stabil, aman, makmur, harum, dicontohi dan terus unggul di persada dunia. 

 

Ini juga bagi memastikan negara Malaysia bukan sahaja berjaya mencapai negara bangsa yang berjaya tetapi juga membangun dengan baik, terpelihara sejajar dengan pembangunan lestari. 


 

dagangnews2023

 


Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-66 kepada seluruh rakyat Malaysia. - DagangNews.com

 

 

NORAZLINDA MOHAMAD adalah pensyarah kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM Cawangan Melaka
dagangnews