66.7% diaspora Malaysia di Singapura terima gaji hingga RM12,791 sebulan, majoriti berasal dari Johor, Perak dan Kedah - DOSM | DagangNews Skip to main content

66.7% diaspora Malaysia di Singapura terima gaji hingga RM12,791 sebulan, majoriti berasal dari Johor, Perak dan Kedah - DOSM

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 19 Feb - Sebanyak 66.7 peratus daripada diaspora Malaysia yang bekerja di Singapura menerima gaji di antara RM5,331 (SGD1,500) hingga RM12,791 (SGD3,599) sebulan, lapor Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Menurut DOSM, sebanyak 18.5 peratus lagi responden diaspora Malaysia di Singapura menerima gaji di antara RM12,794 (SGD3,600) hingga RM35,537 (SGD9,999) sebulan.

 

Jumlah gaji kasar bulanan tertinggi yang direkodkan di Singapura adalah SGD18,000 (RM63,793), kata DOSM yang menerbitkan Laporan Kajian Diaspora Malaysia: Rakyat Malaysia Bekerja di Luar Negara 2022 dan 2023.

 

"Didapati 39.0 peratus diaspora Malaysia yang bekerja di Singapura adalah pekerja mahir dan 35.0 peratus bekerja sebagai pekerja separa mahir," kata jabatan itu hari ini yang turut mengkaji diaspora Malaysia di Brunei.

 

Dalam laporan itu, DOSM mendapati negeri asal yang mendominasi diaspora Malaysia di Singapura adalah Johor, Kedah dan Perak manakala Sarawak, Sabah dan Johor mendominasi negeri asal diaspora Malaysia di Brunei.

 

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, antara faktor utama rakyat Malaysia memilih bekerja di Singapura atau Brunei adalah peluang dan persekitaran kerja yang baik, gaji lebih lumayan serta kadar pertukaran mata wang yang tinggi.

 

Bagi yang bekerja di Brunei pula, 41.3 peratus responden menerima gaji kasar bulanan di antara BND1,000 (RM3,550) hingga BND3,000 (RM10,662) dan 43.5 peratus lagi menerima gaji kasar bulanan di antara BND3,001 (RM10,665) hingga BND10,000 (RM35,540) sebulan. 

 

dias1

 

Kedua-dua kajian ini juga menunjukkan lebih daripada separuh diaspora Malaysia yang berada di Singapura dan Brunei Darussalam memiliki pendidikan tertiari iaitu peringkat STPM dan ke atas.

 

"Berdasarkan dapatan kajian 2022, didapati bahawa 38.0 peratus diaspora Malaysia yang berada di Singapura adalah golongan pekerja, manakala 62.0 peratus berada di Singapura atas tujuan lain seperti menjalankan perniagaan, menjalani latihan dan penyelidikan, pendidikan atau berkahwin dengan warga Singapura.

 

"Dapatan kajian 2023 pula menunjukkan 50.0 peratus diaspora Malaysia di Brunei merupakan golongan pekerja, manakala selebihnya adalah disebabkan faktor sosial seperti berkahwin dengan warga Brunei, mengikut suami yang bekerja atau atas urusan kekeluargaan. 

 

dias2

 

"Namun begitu terdapat satu dapatan yang signifikan kerana persamaan sebab keberadaan di Singapura atau di Brunei, iaitu rakyat Malaysia berada di sana adalah untuk menjalankan perniagaan," katanya dengan menyatakan Melayu dan Cina menominasi jumlah diaspora Malaysia di kedua-dua negara itu.

 

Kata Ketua Perangkawan, analisis terperinci yang dibuat menerusi kajian 2022 dan 2023 menunjukkan bahawa rakyat Malaysia mempunyai peluang dan ruang untuk terus memilih bekerja di luar negara. 

 

Ujarnya, pendidikan Malaysia diiktiraf sehingga membolehkan pekerja dengan tahap pendidikan minimum SPM berjaya meningkatkan kerjaya mereka dari pekerjaan berkemahiran rendah kepada pekerjaan Separa Mahir atau Mahir di Singapura dan Brunei Darussalam. 

 

Beliau berkata, pekerja dengan kelulusan tertiari di Malaysia turut diiktiraf di peringkat antarabangsa, ini bukan sahaja memberikan peluang kerjaya yang lebih luas tetapi juga pengiktirafan institusi pengajian tinggi awam dan swasta di Malaysia kerana dapat melahirkan pekerja yang diiktiraf secara global.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Krisis brain drain di Malaysia dan di mana silap kita?

 

"Walaupun situasi ini akan menunjukkan impak negatif terutama isu Brain Drain iaitu Malaysia kehilangan tenaga pakar dan juga kerugian kewangan kerana majoriti yang bekerja di luar negara adalah hasil daripada sistem pendidikan Malaysia. 

 

"Sewajarnya Malaysia tidak boleh menjadikan isu brain drain ini sebagai isu yang negatif tetapi menukarkan kepada konsep Brain Circulation, iaitu diaspora Malaysia ini akhirnya akan kembali semula ke Malaysia selepas satu tempoh masa yang dirancang oleh mereka.

 

"Bagi mengguna pakai konsep Brain Circulation sebagai salah satu kaedah menarik minat diaspora Malaysia untuk kembali atau bekerja di Malaysia, konsep ini perlu dilihat dengan lebih menyeluruh dan tersusun," katanya.

 

uzir3
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin

 

Menurut Dr Mohd Uzir, kerajaan juga perlu melihat proses pengurusan diaspora secara holistik dan tidak terhad kepada fungsi-fungsi tersedia di dalam kementerian atau agensi kerajaan. 

 

Katanya, tumpuan pengurusan diaspora bukan hanya untuk membawa mereka pulang, tetapi bagaimana untuk memanfaatkan negara dengan kepakaran yang mereka ada di samping memberikan kesejahteraan kepada diaspora apabila mereka kembali ke Malaysia.

 

"Terdapat keperluan kritikal untuk Kerajaan Malaysia mengubah struktur pasaran buruh supaya dapat bersaing untuk mendapatkan pelabur asing serta mengekalkan dan menarik guna tenaga untuk terus kekal di dalam negara. 

 

"Keupayaan untuk mengubah struktur pasaran buruh Malaysia bukan sahaja akan dapat meningkatkan ekonomi tetapi secara tidak langsung akan mempunyai kesan ke atas kadar mata wang Ringgit Malaysia, gaji, automasi dan mekanisasi industri jangka masa panjang," katanya.- DagangNews.com