Krisis brain drain di Malaysia dan di mana silap kita? | DagangNews Skip to main content

Krisis brain drain di Malaysia dan di mana silap kita?

Oleh Muhammad Hafiz Aiman Ruzki dan Dr Velan Kunjuraman

BRAIN DRAIN atau secara terjemahannya bermaksud `penghijrahan cendekiawan’ atau individu berkemahiran tinggi, adalah satu daripada fenomena sosial yang berlaku apabila seorang pekerja berkemahiran tinggi seperti doktor pakar, dan jurutera memilih untuk bekerja di luar negara dan bukan negara asal mereka.

 

Antara peristiwa brain drain yang telah menggegarkan negara kita Malaysia apabila 30 orang graduan terbaik setiap tahun dari Universiti Malaya memilih untuk berkhidmat di Singapura dan bukannya Malaysia.

 

Perkara ini didedahkan oleh bekas Dekan Fakulti Perubatan Universiti Malaya Dr Adeeba Kamarulzaman pada Disember tahun 2022.


 

Dr Adeeba Kamarulzaman
                                  Dr Adeeba Kamarulzaman

 


Bukan itu sahaja, malah melalui kenyataan menteri sumber manusia sewaktu sesi dialog anjuran TalentCorp di Kuala Lumpur pada 7 Mac lalu, beliau menyatakan bahawa Malaysia juga telah mencatatkan kadar brain drain tertinggi sebanyak 5.5% daripada populasi negara, berbanding purata dunia yang mencatatkan nilai 3.3% sahaja.

 

Maka , semua pihak harus cakna terhadap krisis brain drain dan perkara-perkara yang menjadi punca kepada isu ini, supaya semua pihak mampu memainkan peranan mereka bagi mengatasi brain drain dalam negara dan tidak menuding jari sesama sendiri.

 

Punca kepada berlakunya brain drain dapat dijelaskan dalam tiga aspek utama iaitu sistem pendidikan, sistem ekonomi, dan sistem politik.

 

Menurut kajian yang telah dijalankan oleh EMIR RESEARCH punca berlakunya brain drain dalam aspek sistem pendidikan adalah disebabkan oleh peluang pendidikan yang berkualiti di luar negara berbanding dalam negara dan polisi yang lemah.

 

Hal ini, pelajar Malaysia yang belajar di luar negara sudah terdedah kepada pendidikan yang berkualiti dari segi akademik dan juga kemudahan fasiliti yang lebih maju dan serba lengkap.

 

Kebanyakan daripada graduan luar negara juga memutuskan untuk berkhidmat di sana kerana sudah mempunyai peluang yang terbuka.

 

Contohnya seperti, Dr Amalina Che Bakri pemegang biasiswa kijang emas yang belajar di Universiti Edinburgh dan kini beliau terus berkhidmat sebagai pakar bedah di United Kingdom.


 

Dr Amalina Che Bakri
                       Dr Amalina Che Bakri

 


Perkara ini merupakan satu kerugian yang jelas kepada Malaysia kerana wang sudah dilaburkan tetapi tiada pulangan yang menguntungkan.

 

Maka, pihak pembuat polisi haruslah lebih peka dalam isu ini supaya negara kita tidak melepaskan aset sumber manusia yang berharga tanpa pulangan yang untung kepada negara.

 

Selain itu, krisis brain drain di negara ini dijolok dengan kelemahan dalam sistem ekonomi dalam negara yang membuatkan rakyat Malaysia memandang jauh ke luar negara sebagai destinasi untuk berkerjaya.

 

Peluang kerjaya yang terhad dan gaji rendah menyebabkan ahli-ahli pekerja profesional memilih luar negara sebagai destinasi.

 

Melalui kenyataan ketua ekonomi, Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan, Prof Madya Dr Mohd Yusof Saari berkata, isu utama yang membelenggu graduan adalah ketidakpadanan pekerjaan di antara kelayakan yang mereka peroleh dengan pekerjaan yang mereka lakukan dalam ekonomi.


 

Prof Madya Dr Mohd Yusof Saari
                     Prof Madya Dr Mohd Yusof Saari

 


Daripada aspek sisi permintaan industri di Malaysia secara keseluruhannya lebih banyak menggaji pekerja separa mahir dan berkemahiran rendah berbanding dengan berkemahiran tinggi.

 

Maka , dalam situasi sebegini graduan yang berkebolehan tinggi memilih untuk keluar negara demi mengelak persaingan dalam pekerjaan dan kadar gaji yang rendah.

 

Masalah sistem politik dalam negara juga turut memberi kesan secara langsung kepada krisis brain drain. Ketidakstabilan politik merupakan faktor penolak yang membuatkan rakyat Malaysia berkemahiran tinggi mengambil keputusan untuk mobiliti keluar negara.

 

Ini kerana isu politik juga memberi kesan kepada kadar pertumbuhan ekonomi dan kedudukan matawang negara.

 

Di samping itu, kelemahan dasar polisi menyebabkan lebih banyak pengambilan bekerja secara kontrak pekerjaan berkemahiran tinggi seperti doktor perubatan.

 

Tekanan kerja yang tinggi dan gaji yang tidak lumayan menyebabkan ramai graduan-graduan baharu memilih untuk keluar negara demi tahap kualiti hidup yang lebih terjamin.

 

Tuntasnya, krisis brain drain seharusnya diangkat sebagai masalah nasional dan pihak kerajaan dan pemain industri wajar duduk semeja berbincang demi mengimbangkan pasaran buruh Malaysia yang memberi manfaat situasi menang-menang kepada semua pihak yang terlibat.


 

parafrasa

 


Kesimpulannya, krisis brain drain hanya akan merugikan negara dan pasaran buruh Malaysia kerana impaknya yang amat besar.

 

Seharusnya semua pihak mestilah aktif dan progresif dalam menangani isu ini supaya setiap langkah diambil dan setiap wang dilaburkan adalah berkesan tidak menambah kerugian.

 

Pekerja berkemahiran tinggi adalah aset yang akan membangunkan dan mengembangkan tahap kualiti dan kemajuan negara.

 

Jika perkara ini tidak dibendung dengan serius , maka “hujan emas hanya di negeri orang, negeri sendiri tandus kekeringan”, angkara pelaburan yang dikeluarkan untuk melahirkan seorang pakar tiada guna apabila mereka sentiasa lari dan menjadi jaguh di tanah asing. - DagangNews.com

 

Muhammad Hafiz Aiman Ruzki dan Dr Velan Kunjuraman dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia