68% milenial guna platform pelaburan dalam talian | DagangNews Skip to main content

68% milenial guna platform pelaburan dalam talian

 

KUALA LUMPUR 24 April - Golongan milenial yang berusia antara 26 hingga 40 tahun merangkumi 68%  daripada mereka yang menggunakan platform pelaburan dalam talian tahun lepas, demikian menurut kaji selidik Rakuten Insight Malaysia.

 

Syarikat penyelidikan tersebut juga mendapati bahawa dalam kalangan pelabur runcit digital yang menjual beli ekuiti, jumlah dagangan tertinggi dicatatkan oleh kumpulan pelabur yang berusia antara 26 hingga 30 tahun.

 

Pengarah Negaranya Collin Leow berkata, suasana ekonomi pandemik mencetus perubahan dalam amalan pelaburan dan simpanan dengan memanfaatkan capaian kepada teknologi.

 

“Walaupun kaji selidik ini bertujuan mendapatkan maklumat lanjut tentang kemunculan pelabur digital lebih muda dalam norma baharu, satu penemuan yang tidak diduga ialah pelaburan digital bukan hanya diceburi oleh golongan milenial, malah 32% daripada pelabur terdiri daripada kumpulan yang berusia antara 40 dan 50 tahun.

 

“Kami juga mendapati bahawa peluang pelaburan yang mampu menjana pertumbuhan jangka panjang (45%) dan pulangan jangka pendek (18%) lebih popular dalam kalangan pelabur,” katanya dalam kenyataan di sini, lapor Bernama

 

Leow berkata, terdapat peningkatan 47% dalam kalangan pelabur yang memilih pelaburan saham, manakala mereka yang memilih dana unit amanah dan dana bersama bertambah sebanyak 29.28%.

 

Rakuten Insight juga melaporkan pola peningkatan aktiviti dagangan talian dalam kalangan pedagang sedia ada dengan lebih 44% pelabur runcit meningkatkan aktiviti dagangan sepanjang tempoh sekatan pergerakan. - DagangNews.com