7-Eleven diramal beri tumpuan kepada pengembangan rangkaian 7-Cafe, kata Maybank IB | DagangNews Skip to main content

7-Eleven diramal beri tumpuan kepada pengembangan rangkaian 7-Cafe, kata Maybank IB

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 23 Ogos - 7-Eleven Malaysia Holdings Bhd diunjur akan terus memberi fokus kepada pengembangan rangkaian kedai 7-Cafe serta melancarkan produk makanan segar sedia di kedainya, kata Maybank Investment Bank (Maybank IB). 

 

Katanya, sehingga akhir Jun 2024, kumpulan itu memiliki sejumlah 2,593 kedai.

 

"Strategi kumpulan itu jelas, dengan perkembangan kedai 7-Cafe, dan kepelbagaian jualan ke arah makanan segar dan produk sedia untuk dimakan menjadi keutamaan.

 

"Komisaris makanan kumpulan yang baharu ditauliahkan juga akan membolehkan pengeluaran makanan segar baharu yang lebih pantas ke kedai, untuk mempercepatkan peningkatan rantaian nilainya," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, 7-Eleven mencatatkan peningkatan untung bersih sebanyak 5.9% kepada RM20.49 juta pada 2QFY24 berbanding RM19.35 juta setahun lalu, disokong hasil lebih baik serta perbelanjaan pentadbiran dan operasi yang lebih rendah.

 

Hasil suku tahunan meningkat 3.3% kepada RM751.79 juta daripada RM727.98 juta pada 2QFY23 dan mengaitkan peningkatan itu kepada penambahan bersih 94 kedai baharu serta kesan perayaan Hari Raya Aidilfitri yang mendorong peningkatan perbelanjaan pengguna.

 

Bagi 1HFY24, jumlah untung bersih kumpulan meningkat 10.1% tahun ke tahun kepada RM33.33 juta, manakala hasil meningkat 3.8% kepada RM1.4 bilion.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kos jualan dan pengedaran kumpulan meningkat sebanyak 9% disebabkan perbelanjaan berkaitan pembukaan kedai baharu yang membawa kepada pertumbuhan pendapatan sebelum faedah dan cukai (EBIT) suku kedua 2024 lebih kecil sebanyak 2%.

 

Katanya, untung bersih teras kumpulan turun ketara sebanyak 19% selepas Caring Pharmacy dilupuskan pada Disember 2023.

 

Maybank IB mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga sasaran (TP) RM1.97 sesaham. - DagangNews.com