7-Eleven: Tiada untung ketara daripada penjualan Caring Pharmacy, kata Maybank IB | DagangNews Skip to main content

7-Eleven: Tiada untung ketara daripada penjualan Caring Pharmacy, kata Maybank IB

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 27 Nov - Maybank Investment Bank (Maybank IB) menjangkakan 7-Eleven Malaysia Holdings Berhad tidak mencatatkan keuntungan ketara daripada pelupusan pegangan dalam Caring Pharmacy didorong penjimatan kos faedah kumpulan yang tinggi.

 

Firma penyelidikan itu menjangkakan langkah melepaskan perniagaan famasi hanya akan memberi kesan 'neutral' terhadap pendapatan kumpulan.

 

Katanya, bagi perniagaan kedai sebanekanya, pengembangan berterusan format kedai 7-Cafe seharusnya menambah baik campuran produknya secara berperingkat kerana tumpuannya lebih terarah kepada makanan segar.

 

Pada akhir suku ketiga 2023, kumpulan itu memiliki sejumlah 2,532 kedai dengan 186 daripadanya adalah kedai 7-Cafe

 

"Kami percaya bahawa keutamaan 7-Eleven dalam meningkatkan rantaian nilai dengan margin makanan segar yang lebih tinggi di kedai 7-Cafe akan membantu mengurangkan kelembapan umum dalam perbelanjaan pengguna dalam jangka masa terdekat," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

BACA JUGA: 7-Eleven lupus 75% kepentingan dalam Caring Pharmacy berharga RM675 juta

 

Langkah penjualan itu merangkumi pengambilalihan semua anak syarikat dan syarikat bersekutu Caring yang memiliki dan megendalikan perniagaan farmasi runcit di bawah jenama Caring, Georgetown dan Wellings serta pembuatan selain pengedaran produk dalaman di Malaysia.

 

Tawaran itu juga merangkumi pengambilalihan harta intelek yang dimiliki Caring Group dan perniagaan Indonesia merangkumi semua jenama di bawah Caring Group.

 

Firma penyelidikan itu berkata, terdapat beberapa faktor risiko terhadap anggaran pendapatan, sasaran harga dan penilaian pihaknya untuk 7-Eleven.

 

"Memandangkan jualan tembakau merangkumi anggaran 30% hingga 35% daripada jumlah jualan kumpulan, sebarang perubahan kawal selia yang tidak menguntungkan (cth. kejutan cukai eksais) boleh memberi kesan kepada pendapatan mereka.

 

"Selain itu, perbelanjaan operasi yang lebih tinggi melalui kenaikan gaji minimum juga boleh memberi kesan negatif kepada pertumbuhan pendapatan," katanya.

 

Maybank IB mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga sasaran (TP) RM2.10 sesaham. - DagangNews.com