7 negeri catat KDNK melebihi paras nasional | DagangNews Skip to main content

7 negeri catat KDNK melebihi paras nasional

Malaysia

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 6 Ogos - Sebanyak tujuh negeri berjaya mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) melepasi paras nasional 4.3%.

Ketua Perangkawan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, Selangor menerajui pertumbuhan dengan 6.7% sementara Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur meningkat 6.0%.

"Kelantan meningkat kepada 5.3% dan Wilayah Persekutuan Labuan turut meningkat kepada 5.2%.

"Manakala Negeri Sembilan melonjak kepada 5.1%, Kedah dan Perlis pula masing-masing menyaksikan pertumbuhan yang sama kepada 4.6%," jelasnya berdasarkan laporan sosioekonomi negeri 2019 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini.

Mohd. Uzir Mahidin
Mohd. Uzir Mahidin

 

Sebanyak 15 buah laporan yang dikeluarkan merupakan penerbitan eksklusif yang disediakan dengan mengharmonikan maklumat ekonomi dan sosial mengikut 13 negeri dan dua Wilayah Persekutuan.

Tambah beliau, tujuh negeri turut merekodkan pertumbuhan ekonomi yang lebih baik berbanding tahun sebelumnya.

Kelantan menyaksikan peningkatan 5.3% berbanding 2.6% pada 2018.

"Negeri Sembilan 5.1% (2018: 4.2%), Kedah 4.6% (2018: 4.0%), Perlis 4.6% (2018: 3.3%).

"Manakala Pahang sebanyak 3.7% (2018: 3.0%), Terengganu 3.3% (2018: 2.5%) dan Sarawak 2.5% (2018: 2.2%)," jelasnya lagi.

Jelas beliau, momentum pertumbuhan ekonomi di beberapa negeri berkaitan didorong oleh pemulihan prestasi sektor pertanian seperti peningkatan pengeluaran bagi aktiviti kelapa sawit, getah dan tanaman sayuran serta sektor perkhidmatan. - DagangNews.com