KUALA LUMPUR 1 Dis - Kajian Cybersecurity for SMBs: Asia Pacific Businesses Prepare for Digital Defense yang dikeluarkan Cisco mendapati 50% perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia mengalami insiden siber pada tahun lalu.
Malah, 67% pula mendedahkan kehilangan maklumat pelanggan kepada pelaku berniat jahat akibat insiden-insiden berkenaan.
Kajian itu turut mendapati, PKS lebih khuatir akan risiko keselamatan siber, dengan 74% berkata lebih bimbang tentang keselamatan siber pada hari ini berbanding 12 bulan lalu, manakala 88% berasa terdedah kepada ancaman siber.
Namun demikian, kajian yang sama menegaskan PKS mengambil langkah strategik seperti menjalankan latihan simulasi untuk meningkatkan kesiapsiagaan keselamatan siber, sekali gus menunjukkan cabaran ini tidak mematahkan semangat mereka.
Pengarah Urusan Cisco Malaysia, Hana Raja berkata, PKS telah memanfaatkan teknologi untuk terus beroperasi dan berkhidmat kepada pelanggan yang bergelut dengan implikasi pandemik.
Katanya, arus digitalisasi PKS yang rancak di seluruh Malaysia telah menjadikannya sasaran lebih menarik bagi pelaku berniat jahat, lebih-lebih lagi apabila digitalisasi menyebabkan perniagaan mempunyai titik kelemahan lebih luas yang boleh disasarkan oleh penggodam.
"Selain itu, perniagaan sedemikian menjana lebih data yang dianggap bernilai tinggi oleh mereka yang berniat jahat.
"Sehubungan itu, amat penting bagi PKS memiliki strategi, penyelesaian dan keupayaan yang tepat untuk melindungi diri mereka dari segi keselamatan siber," katanya dalam kenyataan hari ini.
Kajian ini berdasarkan tinjauan bebas dan dwibuta terhadap lebih 3,700 pemimpin perniagaan dan IT dengan tanggungjawab keselamatan siber merentasi 14 pasaran di Asia Pasifik.
Tinjauan mendapati PKS menyedari cara-cara digunakan penyerang untuk menyusup masuk ke dalam sistem.
Serangan perisian hasad yang menjejaskan 89% PKS di Malaysia menduduki tempat pertama, diikuti oleh pancingan data (phishing), dengan 69% berkongsi mengalami serangan siber sedemikian pada tahun lalu.
Hampir 4 daripada 10 (39%) PKS di Malaysia yang mengalami serangan siber menegaskan, sebab utama berlakunya insiden ini ialah penyelesaian keselamatan siber yang kurang memadai untuk mengesan atau mencegah serangan.
Sementara itu, 27% mendedahkan tidak mempunyai penyelesaian keselamatan siber sebagai faktor utama.
Semua insiden ini mendatangkan kesan ketara terhadap perniagaan yang mana 32% PKS di Malaysia mengalami insiden siber dalam tempoh 12 bulan lalu mendedahkan perniagaan mereka mengalami kerugian sebanyak RM2.09 juta atau lebih, dengan 6% pula berkata, ia membabitkan RM4.1 juta atau lebih.
Selain kehilangan data pelanggan, PKS di Malaysia yang mengalami insiden siber turut kehilangan e-mel dalaman syarikat (65%), data pekerja (59%), harta intelek (53%), maklumat perniagaan sensitif (45%) dan maklumat kewangan (44%). Di samping itu, 61% mengakui ia menjejaskan reputasi.
Bagaimanapun, PKS memperlihatkan pelaburan yang kukuh dalam keselamatan siber secara umumnya.
Menurut kajian itu, 75% PKS di Malaysia telah meningkatkan pelaburan dalam penyelesaian keselamatan siber sejak permulaan pandemik, dengan 36% meningkatkan pelaburan lebih 5%.
Selain itu, PKS turut meningkatkan pelaburan dalam aspek seperti alat pematuhan atau pemantauan, modal manusia, latihan dan insurans.
Hal ini memperlihatkan pemahaman yang kukuh tentang kepentingan pendekatan multi-aspek dan bersepadu untuk memantapkan kesiapsiagaan siber. - DagangNews.com