7.89% agihan pendapatan Dana BIMB-Arabesque i Global Dividend | DagangNews Skip to main content

7.89% agihan pendapatan Dana BIMB-Arabesque i Global Dividend

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 10 Mei – BIMB Investment Management Berhad (BIMB Investment) mengumumkan 7.89% hasil pengagihan pendapatan untuk Dana BIMB-Arabesque i Global Dividend Fund 1 (BiGDF1) bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2021.

 

Pengerusi BIMB Investment, Mohamed Ridza Mohamed Abdulla berkata, keyakinan pelabur telah memberikan keputusan prestasi yang memberangsangkan dengan hasil pengagihan pendapatan sebanyak 3.40 sen untuk Kelas RM dan Kelas USD serta 3.30 sen untuk Kelas Hedged RM dan Kelas SGD.

 

“Kerjasama dengan firma pengurusan aset global Arabesque Asset Management Ltd (Arabesque) telah membawa nilai tambah kepada pelabur kami. Strategi pelaburan Dana Sasaran secara unik menggabungkan kepatuhan syariah, nilai kemampanan, proses pemilihan saham asas yang canggih dan teknologi pengurusan risiko dan pelaburan yang terkini.

 

Mohamed Ridza Mohamed Abdulla
Mohamed Ridza Mohamed Abdulla

 

“Tidak dinafikan lagi bahawa dana ESG akan menjadi arus utama pelaburan dan syarikat-syarikat yang memberi perhatian kepada faktor-faktor ESG akan mengungguli dan bertahan dalam jangka masa panjang.

 

"Dana Sasaran memanfaatkan gabungan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) Arabesque S-Ray dan skor Global Compact Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGC) untuk menganalisis syarikat dari sudut pandangan kemampanan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Hasil pengagihan pendapatan adalah 7.89% untuk Kelas RM; 7.93% untuk Kelas Hedged RM; 7.88% untuk Kelas SGD; dan 7.88% untuk Kelas USD yang telah mengatasi sasaran penanda arasnya iaitu 6.0% untuk tahun kelima secara berturut-turut.

 

Ia lebih tinggi daripada hasil pengagihan pendapatan tahun lalu sebanyak 6.36% untuk Kelas RM; 6.0% untuk Kelas Hedged RM; 6.0% untuk Kelas SGD; dan 6.0% untuk Kelas USD.

 

Proses pelaburan BiGDF1 menyingkirkan aspek berat sebelah dan gerak hati manusia, untuk membina kombinasi saham terbaik daripada kalangan 77,000 syarikat yang disenaraikan di peringkat global untuk membentuk portfolio sehingga 100 saham setiap hari.

 

Dana ini mengimbangi semula portfolio setiap hari di antara ekuiti dan tunai untuk pulangan pelaburan mampan yang disesuaikan dengan risiko terselaras.

 

Pendekatan pelaburan kuantitatif yang sistematik dan berdasarkan peraturan juga mengambil kira ESG untuk melabur dalam syarikat yang mempunyai kewangan hadapan yang mampan.

 

Pengurusan risiko secara kuantitatif dan teknologi pengurusan pelaburan Dana Sasaran dimiliki secara eksklusif oleh Arabesque.

 

Ia berdasarkan penyelidikan akademik terkemuka mengenai corak pulangan saham, pengoptimuman portfolio Conditional Value at Risk (CVar) dan tingkah laku kewangan.

 

Dana yang pertama kali diperkenalkan pada bulan November 2015 itu merupakan ekuiti global terbesar Dana Ekuiti Global Shariah di Malaysia dengan saiz dana melebihi RM700 juta.

 

Dana ini melabur minimum 90% daripada Nilai Asset Bersih (NAB) Dana ke dalam Dana Sasaran dan maksimum 10% dari NAB Dana ke dalam simpanan tetap Islam, instrumen pasaran wang Islam dan/atau pasaran cair Islam.

 

Jumlah pelaburan minimum adalah RM500, SGD500 atau USD500. - DagangNews.com