Ancom Nylex kekal positif terhadap pendapatan FY25 walaupun berdepan kos eksport tinggi | DagangNews Skip to main content

Ancom Nylex kekal positif terhadap pendapatan FY25 walaupun berdepan kos eksport tinggi

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 18 Okt - Ancom Nylex Bhd mengekalkan pandangan positif bagi tahun kewangannya yang berakhir pada 31 Mei 2025 (FY25), walaupun menghadapi cabaran dalam segmen kimia pertanian (agrichem) pada suku pertama akibat kos eksport yang lebih tinggi. 

 

Walaupun keuntungan bersih bagi suku berakhir 31 Ogos 2024 (1QFY25) merosot kira-kira 36.5% tahun ke tahun akibat kos pengangkutan yang lebih tinggi kesan daripada ketegangan geopolitik, pengeluar bahan kimia pertanian itu mengekalkan prospek positif dengan segmen pembuatan akan menjadi pemacu utama.

 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Lee Cheun Wei berkata, ketidaktentuan geopolitik kekal meningkat, tambah lagi  konflik bersenjata dan ketegangan perdagangan di seluruh dunia mendorong gangguan perdagangan melalui laut, khususnya di Asia Barat. 

 

Beliau berkata, kekangan geopolitik menyebabkan kelewatan penghantaran dan peningkatan kos.

 

“Namun begitu, kos pengangkutan agak sederhana dan kami berharap ia adalah petanda yang baik,” katanya.

 

Chuen Wei berkata, kumpulan itu akan terus menumpukan kepada kemajuan dengan mengembangkan produk semasanya menjadi tanaman baharu dalam pasaran sedia ada.

 

Pendapatan Ancom Nylex pada 1QFY25 meningkat 5.8% YoY kepada RM515.5 juta daripada RM487.4 juta pada suku yang sama sebelumnya. 

 

Walaupun sumbangan hasil segmen agrichem meningkat sedikit kepada RM136.6 juta pada 1QFY25 daripada RM136.3 juta pada tahun yang lalu, segmen kimia perindustriannya mencapai pertumbuhan 10.4% YoY sebanyak RM339.5 juta pada suku yang sama berbanding RM307.4 juta pada 1QFY24 didorong oleh jualan pada harga lebih tinggi dan peningkatan volum.

 

Bagaimanapun, segmen agrichem Ancom Nylex terjejas akibat kos pengangkutan yang lebih tinggi untuk jualan eksport yang berpunca daripada peningkatan ketidakstabilan geopolitik dan sekatan ke atas import China oleh Amerika Syarikat.

 

Keuntungan bersih Ancom Nylex susut 36.5% YoY kepada RM13.21 juta pada 1QFY25, turun RM20.8 juta dalam tempoh yang sama sebelumnya.

 

Segmen agrichem, yang melaporkan sedikit peningkatan dalam hasil, menyaksikan keuntungan selepas cukai bagi suku tersebut turun kepada RM22.1 juta daripada RM26.9 juta pada 1QFY24 akibat kos pengangkutan yang lebih tinggi.

 

Sementara itu, segmen bahan kimia perindustriannya menyaksikan keuntungan sebelum cukai melonjak 106.3% YoY kepada RM7.5 juta pada 1QFY25 daripada RM3.7 juta pada tempoh yang sama tahun lepas akibat penjimatan kos daripada rasionalisasi perbelanjaan operasi.

 

Dari segmen korporat pula, firma kimia yang berpangkalan di Jerman, Helm AG baru-baru ini muncul sebagai pemegang saham besar dalam Ancom Nylex, dengan 9.47% kepentingan, berikutan langganannya 96.22 juta saham baharu melalui penempatan persendirian. - DagangNews.com