8 pengarah INIX Technologies didenda sehingga RM155,000 dan dikenakan teguran terbuka oleh Bursa Malaysia | DagangNews Skip to main content

8 pengarah INIX Technologies didenda sehingga RM155,000 dan dikenakan teguran terbuka oleh Bursa Malaysia

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 31 Julai - Bursa Malaysia Securities Bhd telah menjatuhkan hukuman denda lapan pengarah INIX Technologies Holdings Bhd (kini dikenali sebagai Zen Tech International Bhd) masing-masing antara RM25,000 hinga RM155,000 dan mengeluarkan teguran terbuka terhadap syarikat itu kerana melanggar Keperluan Penyenaraian Pasaran Ace Bursa Malaysia (LR ACE)

 

Syarikat itu ditegur secara terbuka kerana melanggar perenggan 9.23(1) LR ACE kerana gagal laporan tahunan termasuk penyata kewangan teraudit bersama laporan juruaudit dan pengarah bagi tempoh kewangan 17 bulan berakhir 30 Jun 2021 pada atau sebelum 31 Oktober 2021.

 

"Kumpulan itu hanya mengeluarkan laporan tahunan itu pada 16 November 2021 selepas penangguhan selama 11 hari," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

 

Pengawal selia bursa saham itu juga berkata, syarikat itu juga melanggar peraturan 2.18(1)(c) LR ACE kerana gagal memastikan Laporan Tahunan 2021 yang merangkumi penyata kewangan teraudit  bersama-sama dengan laporan juruaudit dan pengarah untuk 30 Jun 2021, dikeluarkan pada 8 November 2021.

 

Kumpulan itu juga melanggar peraturan 15.09(1)(a) & (c) dan peraturan 15.10 LR ACE dibaca bersama peraturan 15.19 kerana gagal mempunyai ahli Jawatankuasa Audit yang memenuhi keperluan di bawah peraturan 15.09(1)(c) LR ACE atau perenggan 7.1 Nota Panduan 9 untuk tempoh kira-kira 26 bulan setengah dari 15 Disember 2020 hingga 28 Februari 2023.

 

Selain itu mereka gagal mempunyai sekurang-kurangnya tiga ahli dalam Jawatankuasa Audit dan Pengerusi Jawatankuasa Audit untuk tempoh lebih kurang empat bulan setengah dari 15 Disember 2020 hingga 26 April 2021.

 

"Mereka juga melanggar peraturan 2.18(1)(a) & (c) LR ACE kerana gagal memastikan representasi dalam Laporan Jawatankuasa Audit bagi Laporan Tahunan 2021 dan laporan tahunan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2022 yang menyatakan bahawa komposisi Jawatankuasa Audit Syarikat memenuhi keperluan Peraturan 15.09 LR ACE adalah tepat, tidak palsu atau tidak mengelirukan.

 

"Sebagai tambahan kepada teguran awam untuk pelanggaran kelewatan Laporan Tahunan 2021, syarikat dikehendaki menyemak dan memastikan kecukupan dan keberkesanan fungsi pelaporan kewangannya," katanya.

 

Kesemua lapan pengarah telah melanggar perenggan 16.13(b) LR ACE kerana membenarkan INIX Technologies melakukan pelanggaran itu dan ditegur secara terbuka serta dikenakan penalti ialah Pengerusinya, Tan Sri Syed Mohd Yusof Tun Syed Nasir (RM105,000); Naib Pengerusi Kanan, Datuk Megat Fairouz Junaidi Megat Junid (RM105,000), Naib Pengerusi, Datuk Seri Tan Choon Hwa (RM31,250) dan Pengarah Eksekutif, Datuk Zhang Li (RM130,000).

 

Selain itu empat lagi pengarah yang dikenakan denda termasuk Pengarah Eksekutif, Siva Kumar Kalugasalam (RM155,000); Pengarah Bukan Eksekutif, Edwin Silvester Das (RM131,250); Pengarah Bukan Eksekutif, Zhang Yang (RM75,000) dan Pengarah Bukan Eksekutif, Chak Ho Sum (RM25,000).

 

"Denda yang tinggi telah dikenakan ke atas Siva Kumar yang merupakan pengarah yang bertanggungjawab untuk pengurusan kewangan syarikat dan terlibat dalam penglibatan dengan juruaudit luar pada 8 November 2021.

 

"Oleh itu, beliau berada dalam kedudukan yang lebih baik untuk menasihati lembaga pengarah berhubung pengeluaran laporan tahunan, namun beliau berkeras untuk mengeluarkan laporan tahunan pada 8 November 2021 untuk mengelakkan penggantungan dagangan," katanya.

 

Bursa Securities berkata, pihaknya memandang serius pelanggaran tersebut kerana penyerahan penyata kewangan yang tepat pada masanya dan sahih adalah salah satu kewajipan asas syarikat tersenarai dan sangat penting dalam memastikan pasaran yang adil dan teratur bagi sekuriti didagangkan di Bursa Malaysia Securities dan ia adalah perlu bagi membantu dalam keputusan pelaburan termaklum. - DagangNews.com