KUALA LUMPUR 15 Jan - Sebanyak 84% daripada 200 peniaga di Pasar Malam Belia N6 Metrocity, Kuching, Sarawak menerima transaksi pembayaran tanpa tunai sejak awal November 2023, menurut Payments Network Malaysia (PayNet).
PayNet memaklumkan, pihaknya bersama Persatuan Penjaja Petra Jaya (PPPJ) baru-baru ini mengumumkan peralihan inovatif Pasar Malam Belia N6 Metrocity untuk menjadi pasar malam tanpa tunai terbesar pertama di Sarawak.
Katanya, ia sejajar dengan hasrat Bank Negara Malaysia (BNM) melalui kempen 'e-Duit! Kempen Selamat, Senang, Segera', untuk mempercepat penggunaan pembayaran elektronik (e-pembayaran) di Malaysia.
"Terletak di pusat bandar Kuching, Pasar Malam Belia N6 Metrocity merupakan hab aktiviti yang sibuk mulai jam 4 petang hingga 12 tengah malam setiap Rabu hingga Sabtu, yang mana menarik lebih 2,000 pengunjung setiap hari, termasuk sejumlah besar pelancong.
"Inisiatif yang dilaksanakan ini disokong penyedia pembayaran digital terkemuka Maybank, Bank Islam, TNG Digital, Fasspay, S Pay Global (dahulunya dikenali sebagai Sarawak Pay), dengan kerjasama PayNet dan disokong oleh BNM," katanya dalam kenyataan media di sini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Komersial PayNet, Gary Yeoh berkata, beliau kagum dengan kemajuan yang dicapai para peniaga Pasar Malam Belia N6 Metrocity dalam peralihan mereka kepada pasaran tanpa tunai sepenuhnya, sekali gus membuktikan kebolehsuaian dan pemikiran berwawasan mereka.
Beliau berkata, kesediaan mereka untuk menerima teknologi baharu bukan sahaja memodenkan pasaran tradisional, tetapi juga menetapkan penanda aras untuk masyarakat.
Katanya, berikutan jalinan kerjasama yang berjaya dengan RHB dan Agrobank dalam inisiatif yang sama, PayNet terus memperjuangkan mandat agresif Kerajaan Sarawak dalam ekonomi digital seperti yang digariskan dalam Pelan Tindakan Ekonomi Digital Sarawak 2030.
"Sambutan yang menggalakkan daripada peniaga di Pasar Malam Belia N6 Metrocity menunjukkan penerimaan yang semakin meningkat terhadap e-pembayaran, dan kempen ini adalah penting dalam meningkatkan aktiviti ekonomi tempatan," katanya.
Sejak bermulanya kempen tanpa tunai pada 16 Disember 2023, Pasar Malam Belia N6 Metrocity menyaksikan peningkatan yang ketara dalam jumlah dan nilai transaksi.
Kempen yang berlangsung sehingga 31 Mac 2024 itu, direka untuk menggalakkan penggunaan MyDebit & DuitNow QR.
Ia menawarkan insentif seperti rebat segera RM1 dengan pembelian minimum RM10 dalam satu resit untuk pengguna dan insentif tunai RM150 bulanan untuk 30 peniaga terbaik, memperkasakan usahawan dan meningkatkan pengalaman membeli-belah. - DagangNews.com