KUALA LUMPUR 13 Nov. - Pendapatan eksport hasil perkayuan Sarawak menyusut sebanyak 20% kepada RM2.8 bilion bagi tempoh sembilan bulan pertama iaitu Januari hingga September 2020.
Nilai itu lebih rendah berbanding RM3.5 bilion pada tempoh yang sama tahun lalu.
Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, penurunan itu adalah disebabkan oleh pandemik COVID-19 di samping kekurangan permintaan pasaran utama.
"Permintaan pasaran utama Sarawak seperti Jepun, India, negara Timur Tengah, Korea dan lain-lain telah mencatatkan penurunan.
“Bagi tempoh yang sama, nilai eksport produk perkayuan utama iaitu papan lapis telah menurun sebanyak 17% kepada RM1.5 bilion berbanding RM1.8 bilion pada tahun 2019.
“Manakala nilai eksport produk perkayuan ke pasaran terbesar iaitu Jepun juga telah menyusut sebanyak 17% kepada RM1.4 bilion berbanding RM1.7 bilion dalam tahun 2019,” katanya dalam ucapan pengulungan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini, lapor DayakDaily.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu, langkah kerajaan membenarkan industri perkayuan utama untuk terus beroperasi semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan adalah bagi membantu industri tersebut untuk terus lestari dalam mengharungi pandemik COVID-19.
Ujarnya, kebenaran itu adalah untuk memastikan pihak industri dapat memenuhi tempahan yang sedia ada di samping meneruskan aktiviti ekonomi yang sangat diperlukan dalam tempoh berkenaan.
“Dalam usaha memperkasakan industri perkayuan dan hasil sumber perhutanan Sarawak, kerajaan negeri memberi tumpuan kepada pembangunan industri produk nilai tambah terutamanya perabot dan engineered wood product,” katanya.
"Strategi pembangunan tersebut bertujuan untuk menggalakkan dan mengoptimakan penggunaan bahan mentah daripada ladang hutan," tambah beliau.
Kerajaan negeri Sarawak juga mempergiatkan promosi penanaman buluh untuk membangunkan industri berasaskan buluh. - DagangNews.com