9M20: Sektor perkilangan, perkhidmatan & utama catat pelaburan RM109.8 bilion | DagangNews Skip to main content

9M20: Sektor perkilangan, perkhidmatan & utama catat pelaburan RM109.8 bilion

pelaburan perkilangan

KUALA LUMPUR 1 Dis. - Sektor perkilangan, perkhidmatan dan utama negara mencatatkan nilai pelaburan berjumlah RM109.8 bilion untuk tempoh sembilan bulan pertama 2020 (9M20).

 

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) berkata, jumlah pelaburan tersebut melibatkan sebanyak 2,935 projek selain mewujudkan sebanyak 64,701 peluang pekerjaan di Malaysia.

 

"Daripada jumlah pelaburan yang diluluskan, pelaburan langsung domestik (DDI) menyumbang sebanyak 61.2% atau RM67.2 bilion, sementara pelaburan langsung asing (FDI) menyumbang sebanyak RM42.6 bilion," jelas MIDA dalam satu kenyataan hari ini.

 

Dalam kenyataan yang sama, MIDA memberitahu, China muncul sebagai penyumbang terbesar kepada FDI negara sebanyak RM17 bilion untuk sektor perkilangan, perkhidmatan dan utama untuk tempoh berkenaan.

 

Jumlah sumbangan itu diikuti oleh Singapura (RM8 bilion), Switzerland dan Amerika Syarikat (AS) masing-masing sebanyak Rm2.8 bilion.

 

Manakala Belanda pula menyumbang sebanyak RM2.4 bilion.

 

"Untuk projek yang diluluskan mengikut negeri, lima negeri utama iaitu Selangor, Sarawak, Sabah, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang menyumbang RM76.8 bilion atau 69.9% kepada jumlah pelaburan yang diluluskan untuk Januari hingga September 2020.

 

Mohamed Azmin Ali
Mohamed Azmin Ali 

 

"Sektor perkilangan menarik sebahagian besar pelaburan yang diluluskan untuk tempoh itu, menyumbang lebih separuh (59.5 peratus) atau RM65.3 bilion.

 

"Ia diikuti sektor perkhidmatan dengan pelaburan sebanyak 39% atau RM42.8 bilion, dan sektor utama dengan pelaburan yang diluluskan berjumlah 1.5% atau RM1.7 bilion," ujar MIDA lagi.

 

Mengulas berkaitan dengan situasi dan peranan kerajaan terhadap keutamaan rakyat, Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pihak kerajaan tidak pernah berganjak dalam mengutamakan keperluan rakyat walaupun negara dan dunia masih berdepan dengan cabaran pandemik COVID-19.

 

Jelasnya, Belanjawan 2021 menjadi asas untuk mempercepatkan pelaburan di negara ini sekali gus memacu pemulihan ekonomi.

 

"Kerajaan melalui MIDA berharap dapat memanfaatkan insentif daya saing ini untuk meninjau dan menarik lebih banyak pelabur tempatan serta asing, mengambil peluang di Malaysia sepenuhnya," jelas beliau lagi. - DagangNews.com