Abd Aziz Sheikh Fadzir kini Pengerusi Destini, ganti Azhar Harun | DagangNews Skip to main content

Abd Aziz Sheikh Fadzir kini Pengerusi Destini, ganti Azhar Harun

Datuk Abd Aziz Sheikh Fadzir
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 12 Mac - Penyedia rumusan kejuruteraan bersepadu Destini Bhd mengumumkan peletakan jawatan bekas Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun sebagai pengerusi bebas dan bukan eksekutifnya, selepas memegang jawatan selama sembilan bulan.

 

Pada masa yang sama, kumpulan tersebut melantik semula pengarah bukan bebasnya, Datuk Abd Aziz Sheikh Fadzir sebagai pengerusi baharu kumpulan itu.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, peletakan jawatan Azhar adalah disebabkan komitmen peribadinya.

 

Pada 2015, Azhar berundur daripada jawatannya sebagai pengerusi bukan eksekutif bukan bebas Destini kerana komitmen kerja dan peribadi lain, sebelum dilantik semula sebagai pengarah bebas lapan tahun kemudian pada Mei 2023.

 

Kemudian pada Jun 2023, beliau dilantik semula sebagai pengerusi kumpulan itu, menggantikan Abdul Rahman Mohd Rejab, yang meletak jawatan kerana komitmen peribadi.

 

 

destini
Tan Sri Azhar Azizan Harun

 

 

Dari 2020 hingga 2022, Azhar menjadi Speaker Dewan Rakyat. Beliau bersara selepas Tan Sri Johari Abdul dilantik sebagai Speaker Dewan Rakyat yang baharu bagi penggal parlimen semasa. - DagangNews.com