Abdul Majit, Choon Hwa sertai Ikhmas Jaya | DagangNews Skip to main content

Abdul Majit, Choon Hwa sertai Ikhmas Jaya

KUALA LUMPUR 21 Julai - Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Abdul Majit Ahmad Khan dilantik sebagai pengerusi syarikat Ikhmas Jaya Group Bhd (IJGB) dan Datuk Tan Choon Hwa sebagai Timbalan Pengerusinya yang baharu berkuat kuasa hari ini.

Dalam kenyataannya, IJGB berkata, pelantikan Abdul Majit dan Choon Hwa akan mengukuhkan organisasi yang terbabit dalam bidang pembinaan dan kejuruteraan itu.

Abdul Majit adalah Pengerusi MIDA sejak 2019 dan memiliki pengalaman luas dalam perkhidmatan awam dan swasta.

Beliau yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Ekonomi Universiti Malaya turut menjawat beberapa jawatan penting termasuk Presiden Gabungan Persahabatan Malaysia-China; Pengerusi Kehormat Dewan Perniagaan Malaysia-China; Profesor Adjung Institut Pengajian China Universiti Malaya; Pengasas Bersama Yayasan Keamanan Antarabangsa Zhenghe berpangkalan di Washington, Amerika Syarikat (AS).

Abdul Majit yang turut memegang peranan sebagai Pengarah Majlis Perniagaan Malaysia-China turut pernah menyunting dan menerbitkan beberapa buah buku termasuk 'Malaysia China Friendship for Ever' bagi meraikan ulang tahun ke-30 hubungan diplomatik Malaysia-China.

Sementara itu, Choon Hwa yang juga seorang ahli perniagaan memiliki pengalaman 20 tahun dalam pelbagai industri termasuk kayu-kayan, perlombongan, hotel resort, hartanah dan pegangan pelaburan kewangan.

Beliau juga memegang beberapa jawatan tertinggi dalam syarikat korporat termasuk Pengerusi Eksekutif TCH Group; Naib Presiden TA PAY Group dan IBG Group serta Pengarah WAZLIAN GROUP.

Choon Hwa juga mengetuai beberapa persatuan seperti Presiden Dewan Perniagaan Malaysia-China (cawangan Kelantan), Naib Presiden Dewan Perniagaan ASEAN (Thailand).

Ketika ini, beliau adalah Pengarah Eksekutif SMTrack Bhd dan Ni Hsin Resources Bhd. - DagangNews.com