ABIM gesa kerajaan keluarkan perintah moratorium terhadap aktiviti pembalakan | DagangNews Skip to main content

ABIM gesa kerajaan keluarkan perintah moratorium terhadap aktiviti pembalakan

 

KUALA LUMPUR 2 Feb. - Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim Pusat) merujuk kepada kenyataan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali yang mengatakan bahawa dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini sektor pembalakan dibenarkan beroperasi seperti biasa.

 

Presiden ABIM, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, pihaknya menegaskan perkembangan terbaharu ini amat bercanggah dengan penjelasan Perdana Menteri sebelum ini yang mendakwa bahawa nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong untuk Perisytiharan Darurat dibuat bagi menyelesaikan isu besar yang dihadapi iaitu penularan wabak COVID-19 serta bencana banjir yang berlaku di beberapa buah negeri.

 

Muhammad Faisal Abdul Aziz 
Muhammad Faisal Abdul Aziz 

 

Dalam beberapa kajian termasuk kenyataan yang dikeluarkan oleh ahli Akademik Fakulti Pharmocology Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Madya Datuk Dr Vellayan Subramaniam bertarikh 26 Jun 2020, yang menjelaskan bahawa COVID-19 adalah dalam kategori “zoonotic diseases”.

 

Menurut beliau, zoonotic disease dahulu dianggap tidak ketara di Malaysia kerana hidupan liar dilindungi sebaiknya di hutan dan manusia tidak bertindak untuk mempunyai ‘contact’ dengan haiwan tersebut.

 

Tetapi berbeza dengan situasi hari ini ekoran dari pembangunan mega tanpa kawalan yang menyaksikan penebangan hutan dan pemusnahan habitat haiwan liar, maka ‘contact’ antara haiwan liar dengan manusia semakin menjadi kebiasaan. Maka, apabila haiwan liar tertekan mereka mengeluarkan virus berbahaya / bakteria dalam badan mereka dan seterusnya boleh memberi kesan kepada kehidupan manusia.

 

"Justeru, untuk satu jangka masa panjang, aktiviti pembalakan dan kemusnahan alam mempunyai hubungan langsung dengan bencana yang dihadapi kini iaitu penyebaran virus yang pasti akan menjejaskan kehidupan manusia," kata beliau.

 

Selain itu, ABIM juga menegaskan bahawa bencana banjir besar yang sering berlaku berulang kali adalah berpunca dari situasi perubahan iklim.

 

Perubahan iklim menyebabkan berlakunya ketidaktentuan cuaca seperti yang berlaku kini di mana tiada musim yang boleh dijangka berlaku mengikut masa seperti musim tengkujuh.

 

Situasi ini mengakibatkan ketidaktentuan waktu hujan turun dan kadar taburan hujan pada sesuatu masa. Lantas, situasi ini menjadi penyebab berlaku banjir besar apabila kemudahan yang disediakan bagi membendung limpahan air tidak dapat berfungsi.

 

Justeru, pihak berkuasa dan masyarakat harus menitikberatkan isu perubahan iklim yang berlaku ini yang pasti menjadi faktor utama kepada masalah banjir.

 

Sementara itu, hutan adalah kaedah paling murah dan paling berkesan dalam menangani isu perubahan cuaca dan iklim ini. Ia amat berkesan memerangkap karbon diaoksida iaitu gas yang menjadi punca kepada perubahan iklim.

 

Perlu dipertegaskan bahawa aktiviti pembalakan yang berleluasa dan penebangan hutan tanpa kawalan adalah punca utama berlakunya perubahan iklim ini. Maka hutan wajib dipertahankan malah dibanyakkan lagi kawasan hutan sekiranya kerajaan semasa benar-benar serius untuk menangani isu perubahan iklim dan cuaca ini.

 

Oleh itu kata Muhammad Faisal, ABIM menegaskan sudah tiba masanya untuk kerajaan mengeluarkan satu perintah moratorium untuk menghentikan sebarang aktiviti pembalakan sebagai solusi tuntas kepada kedua-dua bencana ini yang akhirnya membebankan rakyat. Ini memandangkan dunia hari ini termasuk Malaysia telah memasuki fasa Darurat Iklim yang menuntut tindakan segera untuk mengekang permasalahan ini.

 

"ABIM berpandangan kerajaan Persekutuan tidak seharusnya berhadapan dengan masalah untuk mengeluarkan perintah ini kepada semua negeri sekiranya kerajaan benar-benar mempunyai kemahuan politik yang tinggi.

 

``Ini memandangkan kerajaan menerusi Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar pernah mengeluarkan perintah yang sama ke atas ke atas aktiviti perlombongan dan pengeksportan bauksit di negeri Pahang,'' kata beliau. - DagangNews.com