ABIM gesa laporan UNICEF dibahas dalam sidang Parlimen | DagangNews Skip to main content

ABIM gesa laporan UNICEF dibahas dalam sidang Parlimen

Presiden ABIM, Muhammad Faisal Abdul Aziz



Oleh JOHARDY IBRAHIM
editor@dagangnews.com
 

SHAH ALAM 26 Ogos - Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) memandang berat laporan yang dikeluarkan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) dan Tabung Kependudukan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA) berkaitan impak ekonomi dan kesejahteraan hidup terhadap golongan B40 khususnya kanak-kanak sepanjang menjalani tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negara ini.

K
ajian yang dibuat terhadap 500 keluarga di kawasan PPR telah merekodkan realiti kesukaran hidup yang dilalui terutama dalam mendapatkan bekalan makanan yang seimbang dan nutrisi.  Menerusi kajian tersebut ia menunjukkan bahawa makanan seperti mi segera telah mengambil tempat sebagai makanan ruji dan asasi sama seperti beras.

Selain itu, ukuran makanan berkhasiat seperti buah-buahan telah menunjukkan penurunan pembelian apabila 40 peratus ketua keluarga mengakui bahawa mereka kurang membeli buah-buahan tidak seperti sebelum perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Antara faktor utama yang menyumbang kepada keadaan ini adalah kesukaran untuk mendapatkan bahan makanan tersebut di samping masalah kesempitan kewangan yang dialami golongan B40.

Ini dapat dilihat menerusi kaji selidik tersebut yang mencatatkan bahawa sebanyak 50% wanita yang menjadi ketua keluarga mengakui simpanan kewangan mereka telah berkurangan selain 33% mengakui jumlah simpanan yang ada hanya cukup untuk menampung perbelanjaan selama hanya sebulan. 


Presiden ABIM, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, ABIM meneliti kajian ini sebagai suatu yang amat penting untuk dibahaskan sebagai indikator tambahan kepada inisiatif kerajaan membantu rakyat terbanyak.

Ini kerana kata beliau, dalam memastikan bantuan dapat disalurkan kepada rakyat bagi memastikan ada hidangan di atas meja untuk dijamah seisi keluarga, ia harus berasaskan kepada hidangan yang baik bertepatan keperluan nutrisi dan tumbesaran generasi kanak-kanak.

"
Maka, ABIM menggesa supaya diberi ruang untuk laporan kajian ini dibentang dan dibahaskan di Parlimen bagi memastikan kita berjaya memperoleh penyelesaian terbaik kepada isu yang telah ditimbulkan melibatkan golongan B40 ini," katanya dalam kenyataan di sini hari ini. - DagangNews.com