Able Global dapat ‘lampu hijau’ beli tanah PNB Development RM169.8 juta | DagangNews Skip to main content

Able Global dapat ‘lampu hijau’ beli tanah PNB Development RM169.8 juta

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 28 Sept. - Pemegang saham Able Global Berhad telah meluluskan cadangan kumpulan untuk mengambil alih sebidang tanah berstatus pemegangan bebas yang terletak di Mukim Bandar, Daerah Kuala Langat, Selangor.

 

Cadangan itu telah diluluskan pada Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) kumpulan yang diadakan hari ini, di mana turut menyaksikan resolusi lain dan cadangan Able Global untuk menceburi pembangunan hartanah diluluskan.

 

Sebagai rekod, tanah yang berukuran 297.51 ekar itu akan diambil alih menerusi anak syarikat milik penuh kumpulan, Able Dairies Sdn. Bhd. (ADSB), Unican Industries Sdn. Bhd. (UISB), dan Able Development Sdn. Bhd. (ASB) daripada PNB Development Sdn. Berhad (PDSB) bernilai sekitar RM169.8 juta.

 

Able Global yang sebelum ini dikenali sebagai Johore Tin Berhad percaya cadangan pengambilalihan tanah dan kepelbagaian perniagaan kumpulan merupakan langkah tepat untuk memastikan pertumbuhannya.

 

“Cadangan pengambilalihan tanah ini membolehkan kami memanfaatkan sebahagiannya untuk mengembangkan operasi pembuatan kami. Kami merancang untuk mengambil alih tanah itu bagi pembangunan kilang, kerana ini membolehkan kami menggabungkan kilang dan gudang kami di Lembah Klang ke kawasan tersebut, menumpukan operasi perniagaan di lokasi strategik.

 

“Melangkah ke hadapan, sebagai sebahagian daripada perancangan kami untuk mengembangkan perniagaan pembangunan hartanah kumpulan, Able Global mahu secara aktif meneroka peluang untuk mengembangkan pemegangan tanah kami dan juga mengenal pasti usaha sama yang berpotensi bagi pembangunan masa hadapan,” jelas kumpulan dalam satu kenyataan.

 

Tambah Able Global, permintaan bagi gudang dan pembuatan menyaksikan trend peningkatan di beberapa sektor, seterusnya berhasrat untuk memanfaatkan permintaan yang meningkat bagi tanah perindustrian dan hartanah, di mana dijangka kekal stabil memasuki 2022.

 

Able Global secara dasarnya terlibat dalam pengeluaran dan penjualan susu serta pembungkusan dan perdagangan semua jenis produk tenusu lain, selain terlibat dalam pembuatan tin dan bekas. - DagangNews.com