Loong Air perkenalkan laluan baharu Xi'an-Pulau Pinang, sokong Tahun Melawat Malaysia 2026 | DagangNews Skip to main content

Loong Air perkenalkan laluan baharu Xi'an-Pulau Pinang, sokong Tahun Melawat Malaysia 2026

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 31 Dis - Loong Air melancarkan penerbangan terus baharu menghubungkan Xi'an, China dengan Pulau Pinang di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, yang berpotensi membawa masuk lebih banyak pelancong dari negara itu menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.

 

Timbalan Pengerusi Tourism Malaysia, Datuk Yeoh Soon Hin berkata, laluan baharu Xi'an-Pulau Pinang itu adalah hasil kerjasama kukuh antara Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan dan Kementerian Pengangkutan (MOT).

 

"Laluan baharu ini merupakan sebahagian daripada strategi Loong Air untuk mengembangkan capaian antarabangsa mereka, hasil usaha Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Seri Tiong King Sing, semasa lawatan rasmi beliau ke China.

 

"Saya percaya dengan adanya sambungan terus antara Xi'an dan Pulau Pinang, ia akan membuka pasaran bahagian barat laut China untuk pelancongan Pulau Pinang, sekali gus memberi peluang kepada pengembara dari barat laut China untuk meneroka Asia Tenggara," katanya. 

 

Beliau berkata demikian pada acara menyambut ketibaan penerbangan sulung dari Xi'an di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, semalam. 

 

plane

 

Turut hadir ialah Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk P Manoharan dan Konsul Jeneral Penang China, Ding Qiao.

 

Soon Hin turut merakamkan ucapan terima kasih kepada MOT yang memberikan sokongan penting untuk pengenalan penerbangan baharu tersebut. 

 

"Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Loong Air, wilayah Xi'an dan semua rakan kongsi kami kerana menjayakan laluan ini. 

 

"Usaha anda amat penting kerana kami bersiap sedia untuk Tahun Melawat Malaysia 2026, memastikan Malaysia terus kekal sebagai destinasi utama," ujarnya. 

 

Beliau turut menekankan polisi bebas visa yang telah dilanjutkan oleh Kerajaan Persekutuan sehingga Disember 2026, bersama dengan peningkatan sambungan antara Malaysia dan China yang dijangka dapat meningkatkan ketibaan pelancong dan memperkukuh pertukaran budaya antara kedua-dua negara.

 

Laluan baharu Loong Air Xi'an-Pulau Pinang yang menggunakan pesawat Airbus A320, dijadualkan dua kali seminggu pada hari Isnin dan Jumaat dengan kapasiti 168 tempat duduk.

 

Menurut Tourism Malaysia, pengenalan laluan itu sejajar dengan objektif Tahun Melawat Malaysia 2026. 

 

Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, Malaysia menyaksikan peningkatan luar biasa ketibaan pelancong dari China, dengan sebanyak 3,038,314 orang pada 2024, peningkatan sebanyak 132.7% berbanding 2023.

 

Dasar bebas visa yang kini dilanjutkan sehingga Disember 2026 bersama dengan perhubungan yang semakin meningkat antara Malaysia dan China, dijangka meningkatkan lagi jumlah kedatangan pelancong China ke Malaysia. - DagangNews.com