KUALA LUMPUR 3 Jan - Public Investment Bank (PublicInvest) meramalkan perbelanjaan pengguna bertambah baik pada 2025 dipacu kenaikan gaji minimum kepada RM1,700 berbanding RM1,500 sebulan serta gaji penjawat awam.
Katanya, kenaikan itu seharusnya memberi manfaat kepada syarikat dan peruncit berkaitan makanan dan minuman (F&B).
"Bagaimanapun, kami menjangkakan penggunaan yang lebih kukuh akan memberi manfaat kepada pemain industri barangan ruji pengguna dan bukan segmen kehendak kerana kos sara hidup yang lebih tinggi akan meyebabkan pengguna mengurangkan perbelanjaan berkaitan kehendak," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma penyelidikan itu tidak menjangkakan kos gaji yang lebih tinggi akan memberi kesan ketara kepada syarikat pengguna di bawah liputannya kerana kebanyakan syarikat itu sudah membayar gaji melebihi gaji minimum.
Katanya, margin industri ternakan ayam dan itik akan kekal stabil pada masa hadapan, disokong kos makanan yang lebih rendah dan penerusan subsidi telur.
"Kami menjangkakan harga jagung dan kacang soya kekal rendah, memandangkan bekalan global yang mencukupi.
"Walaupun kerajaan masih belum mengumumkan waktu sebenar subsidi telur akan dihapuskan, kami percaya kesan jangka pendek, sekiranya subsidi itu dihapuskan, adalah minimum," katanya.
PublicInvest percaya, ketiadaan campur tangan subsidi akan memberi manfaat kepada industri, kerana ia akan memacu pasaran ke arah penetapan harga keseimbangan berdasarkan kuasa bekalan dan permintaan.
Katanya, walaupun peningkatan kos sara hidup terus kekal mencabar dalam kalangan pengguna Malaysia, perbelanjaan untuk barangan ruji kekal berdaya tahan, seperti yang terbukti dalam pertumbuhan hasil dalam kalangan syarikat ruji pengguna di bawah liputan mereka.
"Prestasi yang lebih baik itu didorong kecekapan operasi yang dipertingkatkan, didorong jumlah jualan yang lebih tinggi dan disokong kos bahan mentah yang lebih rendah.
"Kami mengekalkan panggilan "overweight" ke atas sektor pengguna, kerana kami menjangkakan pertumbuhan akan didorong permintaan domestik yang kukuh, terutamanya untuk produk ruji pengguna.
"Selain itu pengukuhan ringgit seharusnya membantu mengimbangi kenaikan harga komoditi," katanya.- DagangNews.com