KUALA LUMPUR 3 Jan - Prospek sektor tenaga boleh diperbaharui (RE) Malaysia pada 2025 dilihat positif dengan pendapatan daripada Kejuruteraan, Perolehan, Pembinaan dan Pentauliahan (EPCC) bagi Program Kuasa Hijau Korporat (CGPP) 800 megawatt (MW) dijangka bernilai RM7 bilion, kata Maybank Investment Bhd (Maybank IB).
Firma penyelidikan itu berkata, kontrak EPCC untuk kapasiti 2GW di bawah solar berskala besar kelima (LSS5) akan menyediakan peluang selanjutnya bagi penambahan buku pesanan syarikat RE.
Maybank IB menjangkakan beberapa projek pemangkin utama di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR) dan LSS5 akan bermula dilaksanakan pada 2025.
"Selain daripada CGPP, kami menjangkakan pembangunan awal projek solar terapung hidro hibrid (HHFS) 2.5GW di takungan Hidro Chenderoh dan Tasik Kenyir.
"Di samping itu, Tenaga Nasional (TNB) merancang untuk mentauliahkan sehingga 255MWp kapasiti HHFS, menyasarkan tarikh operasi komersial (COD) pada 2026.
"Selain itu, Suruhanjaya Tenaga (EC) baru-baru ini memaklumkan pembida yang disenarai pendek untuk projek 2GW di bawah program LSS5," katanya dalam atu nota penyelidikan, hari ini.
Memetik Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA), Maybank IB berkata, kapasiti pembuatan solar global dijangka melebihi 1,100GW menjelang 2024, lebih daripada dua kali ganda permintaan PV solar yang diunjurkan pada 2024. Lebihan bekalan ini telah mengekalkan harga modul PV yang rendah.
"Tarif yang dikenakan oleh A.S. baru-baru ini ke atas import panel solar dari China dan empat negara Asia Tenggara iaitu Malaysia, Kemboja, Vietnam dan Thailand mungkin mewujudkan tekanan harga di seluruh rantaian bekalan global.
"Walaubagaimanapun, IEA menjangkakan China akan mengekalkan penerajunya dalam pengeluaran solar sambil terus memacu permintaan. Akibatnya, IEA menjangkakan bahawa harga purata modul solar akan kekal rendah pada tahun-tahun akan datang.
Firma penyelidikan itu memilih Solarvest Holdings Bhd sebagai pilihan utamanya berdasarkan prospek buku pesanan dan asas asetnya yang semakin meningkat di tengah-tengah permintaan kukuh untuk RE dalam jangka sederhana hingga panjang.
"Pada masa ini, Solarvest mempunyai buku pesanan terbesar di kalangan pemain solar, berjumlah RM961 juta.
"Sebahagian besar daripada ini, RM675 juta dikaitkan dengan projek CGPP yang dijadualkan siap menjelang Disember 2025.
"Baki RM286 juta itu dipertuntukkan bagi projek Kediaman dan Komersial & Perindustrian (C&I). Bagi projek CGPP yang sedang dijalankan, Solarvest menjangkakan untuk mengiktiraf RM296m juta pada Mac FY25, dengan bakinya akan diiktirafkan pada FY26.
"Oleh itu, kami menetapkan saranan beli ke atas Solarvest dengan harga sasaran (TP) RM2.14 sesaham," katanya.
Maybank IB berkata, walaupun terdapat perkembangan positif dan rancangan yang bercita-cita tinggi, sektor TBB Malaysia mungkin menghadapi beberapa cabaran.
"Antara risiko itu termasuk kekurangan sistem storan tenaga bateri (BESS) dan teknologi grid canggih yang mencukupi mungkin menghalang penyepaduan lancar tenaga boleh diperbaharui ke dalam grid, yang membawa kepada ketidakcekapan dan sisa serta gangguan rantaian bekalan global boleh menyebabkan kelewatan dan peningkatan kos," katanya. - DagangNews.com