MSPO 2.0 bakal beri kesan minimum kepada penanam kelapa sawit - MPOB  | DagangNews Skip to main content

MSPO 2.0 bakal beri kesan minimum kepada penanam kelapa sawit - MPOB 

Gambar NAIM AZIZ/Dagangnews

KUALA LUMPUR 3 Jan - Kitaran kedua pensijilan Minyak Sawit Lestari Malaysia (MSPO 2.0), yang berkuat kuasa pada 1 Januari 2025 akan memberi kesan minimum kepada penanam kelapa sawit.

 

MSPO 2.0 yang disemak semula daripada standard asal MSPO 2013, akan mengguna pakai keperluan yang lebih ketat dan lebih komprehensif, sejajar dengan piawaian global semasa dan jangkaan untuk amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

 

Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Ahmad Parveez Ghulam Kadir mengakui rantaian bekalan minyak sawit akan berada di bawah langkah lebih ketat bagi membantu industri untuk lebih bersedia mematuhi piawaian ESG.

 

“Ini akan melibatkan kos yang lebih tinggi, terutamanya dalam bidang audit. Kebanyakan industri sudah bersedia dan diperakui, kini hanya perlu melalui satu pusingan lagi untuk melihat aspek lain. Saya rasa tidak akan ada banyak isu bagi syarikat mematuhi MSPO 2.0,” kata Ahmad Parveez kepada StarBiz.

 

Peraturan baharu itu semakin dilihat sebagai satu keperluan, memandangkan agenda hijau yang berterusan dan matlamat ESG yang kini semakin ditekankan di perdagangan antarabangsa.

 

Ia juga membantu mengekalkan industri minyak sawit negara berdaya saing walaupun Peraturan Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR), yang kini ditangguhkan, bermula menjelang 30 Disember 2025 bagi syarikat besar dan 30 Jun 2026 untuk perusahaan mikro dan kecil.

 

Terdapat beberapa pemain industri sawit menyatakan keraguan mengenai had peraturan ESG yang boleh diterima pakai oleh industri pertanian sebelum ia menjadi tidak kompetitif atau tidak menarik. 

 

“Ini juga akan meningkatkan kos pematuhan untuk industri dan kos pengguna akhir. MSPO 2.0 juga perlu praktikal.

 

"Pendekatan yang lebih praktikal harus mengambil kira jumlah kos dan impak industri terhadap rantaian bekalan," kata pemain industri sawit tempatan.

 

Eksport minyak sawit Malaysia ke Kesatuan Eropah (EU), rantau yang kini dilihat sebagai penyokong terbesar agenda hijau global, membentuk kira-kira 5% daripada jumlah eksport minyak sawit.

 

Menurut Ahmad Parveez, kebanyakan negara secara amnya tidak mengenakan peraturan ESG di sekitar industri kritikal, termasuk minyak sawit, kerana industri itu dianggap sebagai pengeluar barangan asas dan melibatkan industri makanan.

 

Beliau berkata, berdasarkan data sekarang, kebanyakan industri negara sudah sedia untuk mematuhi piawaian MSPO 2.0. 

 

“MSPO 2.0 hanya perlu melalui satu lagi pusingan semakan semula untuk melihat aspek lain termasuk kajian nilai pemuliharaan tinggi dan kalkulator gas rumah hijau, yang akan melibatkan kos tambahan.

 

“Ini mungkin menimbulkan cabaran sementara dan awal kepada pemain industri,” jelasnya.

 

Satu aspel yang perlu disemak semula di bawah MSPO 2.0 ialah peniaga tandan buah segar (BTS), yang tidak pernah diperakui walaupun di bawah versi MSPO yang lebih awal.

 

Sementara itu, Ahmad Parveez berkata, bertentangan dengan persepsi popular, MSPO 2.0 adalah inisiatif dalaman sepenuhnya kerajaan dan tidak digubal kerana tekanan daripada EUDR.

 

"EU hanya membentuk 5% daripada eksport kami dan kebanyakan negara tidak mempunyai peraturan sedemikian," katanya.

 

Menurut Observatory of Economic Complexity (OEC), destinasi utama eksport minyak sawit dari Malaysia ialah India, China, Kenya dan Turki, manakala negara yang mencatatkan pertumbuhan ketara dalam eksport termasuk Arab Saudi dan Jepun. 

 

Indeks Perladangan Bursa Malaysia jatuh sebanyak 0.34% kepada 7,623.43 pada Khamis sejajar dengan penurunan keseluruhan di pasaran yang lebih luas dan FBM KLCI, yang jatuh 0.58% atau 9.46 mata kepada 1,632.87.

 

Salah satu perkara utama MSPO 2.0 ialah bahagian retrospektif di mana pensijilan hanya diberikan untuk kawasan yang tidak ditebang selepas 31 Disember 2019.

 

Mengenai perkara ini, Ahmad Parveez berkata, langkah mitigasi akan disediakan kepada syarikat jika mereka ingin mendapatkan pensijilan.

 

“Kami, sebagai lembaga pengarah, sedang berusaha untuk membuat rancangan. Apa yang dicadangkan ialah penalti supaya mereka dapat dilesenkan. Ia akan dinilai berdasarkan kes demi kes,” katanya. - DagangNews.com