KUALA LUMPUR 3 Jan - Sektor penjagaan kesihatan Malaysia diyakini kekal berdaya tahan didorong peningkatan jumlah pesakit dan kadar penghunian katil (BOR) yang mampan, kata Public Investment Bank (PublicInvest).
Katanya, walaupun sistem Diagnosis-Related Group (DRG) yang dicadang bagi mengawal kos tuntutan perubatan, tetapi dipercayai ia masih di peringkat awal.
"Pada 2025, kami menjangkakan sektor ini terus mendapat manfaat daripada pertumbuhan berterusan dalam pelancongan perubatan dan rancangan pengembangan yang teguh daripada hospital swasta," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma penyelidikan itu berkata, pertumbuhan pelancongan perubatan terus menyokong sektor penjagaan kesihatan, dengan pendapatan pelancongan perubatan KPJ Healthcare Bhd mencecah RM168 juta bagi 9MFY24, meningkat 22%.
Sementara itu, IHH Healthcare Bhd berkedudukan untuk menguasai bahagian pasaran pelancongan perubatanyang lebih besar melalui pengambilalihan Hospital Pulau Pinang, memandangkan Pulau Pinang menyumbang 40% daripada hasil pelancongan perubatan Malaysia pada 2023.
Katanya, walaupun Indonesia berusaha menambah baik infrastruktur penjagaan kesihatan termasuk jalinan kerjasama serta pembaharuan kawal selia namun nisbah katil dan ketersediaan doktor yang terhad terutama di luar Jawa membuatkan rakyat negara itu yang mewah mendapatkan rawatan di luar negara.
"Selain Indonesia, Malaysia secara aktif menyasarkan pelancong perubatan dari China, India, Bangladesh, Kemboja, Myanmar dan Asia Barat dengan memanfaatkan potensi pertumbuhan yang dipacu kemudahan penjagaan kesihatan yang terhad di wilayah ini, persamaan budaya dan laluan penerbangan terus.
"Majlis Perjalanan Penjagaan Kesihatan Malaysia (MHTC) telah meletakkan negara sebagai hab kesuburan, menarik pesakit dari China yang ingin mendapatkan perkhidmatan seperti pemilihan jantina dan prosedur IVF yang tidak dibenarkan di bawah garis panduan tempatan," katanya.
PublicInvest berkata, KPJ berada di landasan tepat untuk membuka hospital ke-30 di Kuala Selangor, dengan kapasiti 68 katil menjelang 1QFY25.
Kumpulan itu menyasarkan untuk meningkatkan katil operasinya kepada 4,100 menjelang FY24, meningkat daripada 3,787 semasa, dan menyasarkan mencapai 5,000 katil dalam tempoh tiga tahun akan datang.
Sementara itu, IHH merancang untuk menambah kira-kira 4,000 katil (33% kapasiti) menjelang 2028 di seluruh Malaysia, Eropah, Turkiye, India, Singapura dan Hong Kong, membina kapasiti operasi semasanya sebanyak 12,220 katil.
"Kami mengekalkan saranan "overweight" terhadap sektor penjagaan kesihatan; mengulangi saranan "outperform" terhadap KPJ dan IHH disebabkan peningkatan jumlah pesakit dalam dan penghunian katil yang kukuh," katanya.- DagangNews.com