Able Global dijangka eksport produk susu pekatnya ke AS pada FY24, kata TA Securities | DagangNews Skip to main content

Able Global dijangka eksport produk susu pekatnya ke AS pada FY24, kata TA Securities

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 26 Mac - Able Global Bhd dijangka mengeksport produk susu pekatnya ke Amerika Syarikat (AS) pada FY24 selepas berjaya melengkapkan penghantaran sulung produk susu sejatnya ke AS, Amerika Tengah dan Amerika Selatan bagi mempelbagaikan produk jualan mereka. 

 

TA Securities berkata, dengan permintaan semakin meningkat daripada pelanggan sedia ada dan baharunya, kadar penggunaan untuk  kilangnya di Mexico dijangka mencecah 40% pada FY24 berbanding 25% pada 4QFY23 dan 20% pada FY23.

 

"Kami mendapati bahawa rancangan untuk mendapatkan kelulusan bagi mengeksport produk tenusu penuh krim dari Mexico ke AS masih dalam proses.

 

"Pada masa ini, kumpulan itu terlibat dengan pihak berkuasa kesihatan Mexico bagi memperakui kilang dan produk susu penuh krimnya, yang merupakan syarat awal bagi mendapatkan pensijilan kesihatan dan eksport ke AS.

 

"Secara keseluruhan, kami mengekalkan jangkaan bahawa kumpulan itu akan mendapat kelulusan eksport menjelang akhir 2HFY24," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pengurusan memberi panduan bahawajumlah jualan dan pengeluaran menusu meningkat pada FY23 disebabkan permintaan lebih tinggi daripada pelanggan sedia ada dan baharu.

 

Katanya, penggunaan produk tenusu telah meningkat dengan ketara dan kadar penggunaan susu pekat meningkat sebanyak 8% kepada 72%, susu sejat melonjak 25% kepada 92% dan produk susu kering meningkat 6% kepada 26%.

 

"Menurut pengurusan, kebanyakan harga bahan mentah (susu dan minyak sawit) telah kembali ke paras normal kecuali gula.

 

"Bagaimanapun, harga gula telah menurun dengan ketara daripada kemuncaknya pada 9MFY23," katanya.

 

TA Securities mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM1.94 sesaham. - DagangNews.com