ACCA sediakan Career Navigator digital untuk pelajar tentukan hala tuju kerjaya | DagangNews Skip to main content

ACCA sediakan Career Navigator digital untuk pelajar tentukan hala tuju kerjaya

 

NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 8 Nov - Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) meneruskan misinya untuk menyediakan kemudahan komprehensif bagi mempersiapkan pelajarnya untuk memasuki alam pekerjaan termasuk Career Navigator digital bagi menentukan hala tuju kerjaya mereka.

 

Career Navigator ACCA merupakan hasil penyilidikan meluas selama dua tahun melibatkan 2,000 peserta dalam komuniti kewangan global bagi mengetahui keperluan perniagaan dan organisasi pada masa hadapan.

 

Dalam persekitaran sekarang, terdapat cabaran sosial, persekitaran dan ekonomi yang kritikal untuk ditangani dan organisasi memerlukan tenaga kerja bersesuaian dengan kebolehan yang tepat bagi mengemudikan pemulihan yang sangat diperlukan ketika pandemik meluas. 

 

Dapatan daripada penyelidikan penting ini juga dibentangkan secara terperinci dalam laporan “Professional Accountants at the Heart of Sustainable Organisations”. 

 

Andrew
Andrew Lim


 

“Peranan akauntan profesional berkembang dengan sangat pantas dan kita perlu mengambil langkah segera untuk memastikan kekal relevan dalam pasaran kerjaya pada masa hadapan.

 

"Melalui penggunaan Career Navigator ini, profesional perakaunan di semua peringkat, termasuklah pelajar yang baru memasuki pasaran kerja, mempunyai peluang untuk meneroka lebih 100 jawatan perakaunan yang berbeza, mempelajari lebih banyak kemahiran dan kebolehan yang diperlukan untuk berjaya, dan berhubung dengan majikan bagi mengetahui tawaran kerja terkini yang bersesuaian dengan kebolehan serta minat mereka,” kata Ketua Portfolio Interim, ACCA Maritime Asia Tenggara, Andrew Lim.

 

Keperluan untuk melahirkan profesional perakaunan muda merupakan perkara penting kerana ia melibatkan pelbagai sektor utama dalam ekonomi negara.

 

Menerusi Career Navigator ini, pelajar boleh merancang laluan kerjaya mereka berdasarkan empat zon kerjaya iaitu Penyedia Jaminan, Penganalisis Perusahaan, Pelapor Kepada Pihak Berkepentingan dan Pemacu Transformasi.

 

Setiap zon ini merangkumi kemahiran berbeza yang melangkaui peranan perakaunan tradisional, memperkasakan graduan dengan pengetahuan masa hadapan untuk membimbing organisasi pada masa akan datang.

 

Pada masa sama, ACCA turut meraikan kejayaan Tung Giim Chyn, Chong Jia En, Oh Kai Wen, dan Chan Wai Mun yang menduduki tempat pertama di dunia untuk kertas Audit dan Jaminan Lanjutan, Audit dan Jaminan, serta Laporan Kewangan masing-masing. 

 

Dalam kalangan pelajar Asasi Perakaunan, Bismiediana Nasuha Binti Mohammad Rizal, Mika Azril Bin Mohd Rizal, Celine Koay Qian Ning, dan Chong Yee Seng turut mencapai keputusan cemerlang.
 

“Setiap tahun pelajar Malaysia secara konsisten berada di kedudukan teratas. Mengambil kira kesan pandemik COVID-19, pencapaian mereka ini sememangnya mengagumkan. Ini adalah testimoni kepada komitmen mereka, dedikasi para pensyarah dan pendidikan yang berkualiti,” kata Andrew.-DagangNews.com