Banjir kilat melanda kawasan Lembah Klang pada hujung minggu baru-baru ini. - Gambar hiasan dari Facebook
KUALA LUMPUR 21 Dis - Kerajaan perlu segera menyalurkan bantuan khususnya kepada pemilik perniagaan yang terjejas dengan bencana banjir dengan mengetepikan karenah birokrasi.
Presiden Dewan Perdagangan dan Industri ASEAN (ACCI), Datuk Sohaimi Shahadan berkata, para peniaga sudah bedepan dengan pelbagai cabaran sejak pandemik COVID-19 dan kemudiannya ditimpa musibah banjir baru-baru ini.
Katanya, ini menyebabkan mereka mengalami kerugian yang teruk dan ditambah pula dengan hal yang remeh-temeh.
"Bantulah mangsa banjir ini tanpa birokrasi dan permudahkan urusan kumpulan ini, sebab mereka sudah terbeban sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) yang dilaksanakan tahun lalu.
"Dalam media, seolah-olah mudah untuk memohon bantuan, realitinya leceh kerana perlu kemukakan pelbagai dokumen.
"Jadi, ketepikanlah karenah birokrasi yang remeh dan buang masa ini," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sohaimi berkata, agensi-agensi kerajaan yang berkait dengan perniagaan dan bank-bank perlu segera membuat kaunter khas dan bukannya menunggu mangsa datang untuk meminta bantuan.
Jelasnya, adalah lebih baik tidak terlalu bergantung kepada rekod Sistem Maklumat Rujukan Kredit Berpusat (CCRIS) dan CTOS Data Systems Sdn. Bhd. (CTOS) dalam menentukan kelayakan usahawan yang memohon pinjaman.
"Inisiatif ini dapat membantu meringankan beban usahawan yang mengalami kerosakan premis perniagaan dan stok barangan serta kediaman.
"Para usahawan ini harus diberi ruang untuk pulihkan perniagaan bagi menyokong kelestarian perniagaan mereka terutama dalam waktu yang mencabar ini," tegas beliau.
Selain itu, beliau turut menggesa pihak pemberi pinjaman seperti bank dan agensi kerajaan seperti Tekun supaya memberi moratorium pinjaman ataupun sewaan terhadap peniaga yang terkesan akibat bencana alam ini. - DagangNews.com