ACS terajui kemajuan pentadbiran penjagaan kesihatan | DagangNews Skip to main content

ACS terajui kemajuan pentadbiran penjagaan kesihatan

Allianz Care

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 5 Ogos - Pentadbiran penjagaan kesihatan Allianz Malaysia Berhad (Allianz Malaysia), Allianz Care Solutions (ACS) tampil menerajui kemajuan pentadbiran kesihatan dengan penambahbaikan dua platform syarikatnya. 

Ketua ACS Allianz Malaysia, Tammy Lee berkata, ACS kini menawarkan platform yang telah ditambah baik melalui pusat pentadbiran kesihatan dan pertanyaan sehenti.

"ACS berhasrat untuk mewujudkan perjalanan holistik baharu yang berpusat pada penjagaan. Tujuan kami adalah untuk menyediakan operasi yang lebih lancar dan lebih baik serta memberi tumpuan kepada perjalanan pelanggan daripada permulaan hingga penghujung.

"Selain itu, kami telah berusaha membina infrastruktur yang kukuh dengan meningkatkan keupayaan digital yang lebih khusus, automasi dan pengumpulan data untuk membantu pelanggan menggunakan faedah dengan optimum," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tammy Lee
Tammy Lee

 

ACS menawarkan perkhidmatan mengawasi tuntutan kesihatan pesakit dalam dan luar negara, menghasilkan surat jaminan, pengurusan rangkaian 140 panel penyedia perubatan dan talian bantuan 24 jam yang menawarkan bantuan kemasukan ke hospital tanpa tunai, proses tuntutan dan mempercepatkan proses keluar daripada hospital.

ACS juga telah meluaskan sokongannya kepada program Allianze We Care yang menawarkan manfaat COVID-19 secara percuma kepada rakyat Malaysia.

Mereka yang berdaftar melalui program berkenaan akan menerima bantuan tunai COVID-19 dan manfaat kematian selain menyediakan rakan kongsi perkhidmatan lain seperti talian perubatan COVID-19, telekesihatan, E-Farmasi dan fisioterapi dalam talian.

Tambah Lee, pihaknya akan berusaha menawarkan lebih banyak produk dan perkhidmatan lain kepada pelanggan.

"Pada masa yang sama, kami juga ingin meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kami.

"Kami mempunyai hampir 70% pelanggan di ACS. Oleh itu, kami sentiasa melihat peluang lain yang dapat kami lakukan dengan lebih baik," jelasnya lagi. - DagangNews.com