AS ada bukti cukup sekat sarung tangan Top Glove | DagangNews Skip to main content

AS ada bukti cukup sekat sarung tangan Top Glove

Gambar Reuters

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 30 Mac - Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) di Amerika Syarikat mendakwa bahawa pihaknya mempunyai bukti cukup untuk 'menuduh' Top Glove Corporation Berhad menggunakan buruh paksa dalam menghasilkan sarung tangan pakai buang. 

 

Sehubungan itu, jabatan berkenaan telah mengarahkan kakitangannya di pintu masuk pelabuhan AS untuk mula merampas sarung tangan pakai buang yang dihasilkan oleh syarikat sarung tangan terbesar dunia dari Malaysia tersebut.

 

Barangan dagangan diliputi oleh hasil kerja buruh paksa akan disita semasa ketibaan di pelabuhan masuk AS, jelas CBP dalam sebuah kenyataan hari ini. 

 

Menerusi kenyataan sama, CBP turut menerbitkan hasil dapatan ke atas kajian buruh paksa melibatkan Top Glove yang menyatakan bahawa ia mempunyai bukti kukuh untuk menyekat kemasukan sarung tangan oleh kumpulan syarikat berkenaan.

 

Pegawai kanan yang menjalankan tugas sebagai pesuruhjaya CBP, Troy Miller berkata: “Dapatan buruh paksa hari ini adalah hasil penyelidikan CBP selama sebulan yang bertujuan untuk mencegah barang-barang yang dibuat oleh ‘perhambaan moden’ memasuki perdagangan AS.

 

“CBP tidak akan bertolak ansur dengan eksploitasi syarikat asing ke atas pekerja rentan untuk menjual barang yang murah dan tidak beretika kepada pengguna AS.

 

“CBP telah mengambil langkah untuk memastikan bahawa tindakan penguatkuasaan yang disasarkan kepada Top Glove tidak akan memberi kesan yang signifikan terhadap jumlah import sarung tangan pakai buang AS,” katanya dalam kenyataan sama. 

 

Pada 15 Julai 2020, CBP mengeluarkan Perintah Tahanan Pelepasan (WRO) ke atas sarung tangan pakai buang yang dihasilkan Top Glove.

 

Menurut CBP, WRO itu berdasarkan maklumat yang munasabah tetapi tidak meyakinkan bahawa terdapat banyak petunjuk buruh paksa dalam proses pengeluaran di Top Glove, termasuk perhambaan hutang, kerja lebih masa, keadaan kerja dan kehidupan yang teruk dan penyimpanan dokumen pengenalan diri.

 

Menerusi siasatannya, CBP yakin bahawa jabatan itu mempunyai maklumat cukup untuk menyokong penemuannya bahawa Top Glove menghasilkan sarung tangan pakai buang dengan ‘mengerah’ buruh paksa.

 

Penemuan hari ini adalah terbitan kedua berhubung buruh paksa oleh CBP pada tahun fiskal 2021. - DagangNews.com