MAICSA anjur persidangan tahunan 2024 `Kelestarian Hari ini Untuk Hari Esok' pada 22-23 Oktober ini | DagangNews Skip to main content

MAICSA anjur persidangan tahunan 2024 `Kelestarian Hari ini Untuk Hari Esok' pada 22-23 Oktober ini

Dato’ Akbar Moidunny
Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 20 Sept – Institut Setiausaha dan Pentadbir Berkanun Malaysia (MAICSA) akan menganjurkan Persidangan Tahunan 2024 dengan tema “Kelestarian Hari Ini Untuk Hari Esok” pada 22 hingga 23 Oktober 2024, di Pusat Konvensyen Sime Darby di Kuala Lumpur.

 

Acara hibrid ini bakal menghimpunkan pemimpin daripada badan kawal selia, sektor korporat dan profesional tadbir urus untuk meneroka strategi yang boleh diterapkan untuk perniagaan yang mampan.

 

Presiden MAICSA, Dato’ Akbar Moidunny menekankan kepentingan kelestarian dalam perniagaan, dengan menyatakan, “Dalam persekitaran perniagaan yang berkembang pesat, kelestarian merupakan faktor utama dan harus dititik beratkan dalam perniagaan. Dengan perubahan iklim yang semakin pantas dan jangkaan sosial semakin meningkat, perniagaan mesti menyepadukan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) ke dalam strategi mereka. Persidangan ini akan menjadi platform untuk membincangkan cabaran terkini dan berkongsi penyelesaian praktikal dan yang berfikiran ke hadapan.”

 

Persidangan dua hari ini akan menampilkan barisan panel utama dan sesi perbincangan yang mantap, direka khas untuk memberi inspirasi dan membimbing organisasi dalam perjalanan kelestarian mereka. Topik yang akan dibincangkan termasuk:

• Membina ekosistem perniagaan yang mampan

• Hala tuju masa depan dalam tadbir urus ESG

• Penglibatan generasi muda dalam inisiatif kelestarian

• Cukai keuntungan modal dan harga pindahan

• Memanfaatkan kecerdasan buatan untuk perlindungan data dan privasi

 

Para hadirin juga akan mendapat manfaat daripada sesi kemas kini kawal selia yang disediakan oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia, bersama-sama dengan pandangan eksklusif daripada pakar industri tentang trend tadbir urus global yang terkini.

 

Statistik terkini KPMG menekankan kepentingan pelaporan kelestarian yang semakin meningkat. Sebanyak 97 peratus daripada 100 syarikat ternama Malaysia kini melaporkan data kelestarian dalam laporan tahunan mereka.

 

Ini menunjukkan komitmen yang kukuh terhadap ketelusan dan tanggungjawab korporat. Di peringkat serantau, Malaysia berada di kedudukan antara peneraju Asia Pasifik, dengan lebih 90 peratus syarikat mengutamakan pelaporan kelestarian. Prestasi terbaik lain di rantau ini termasuk Jepun dan Singapura (100 peratus), Korea Selatan (99 peratus), dan Thailand (97 peratus). Angka-angka ini menekankan permintaan yang semakin meningkat untuk setiausaha bertauliah dan profesional tadbir urus untuk kekal relevan dan mahir dalam rangka kerja kelestarian untuk membimbing organisasi dengan berkesan.

 

Penceramah Jemputan Khas: Hannah Yeoh, Menteri Belia dan Sukan Malaysia

MAICSA dengan bangganya mengumumkan bahawa Hannah Yeoh, Menteri Belia dan Sukan Malaysia, akan menjadi penceramah jemputan khas. Hannah akan memberikan pandangan tentang tadbir urus dalam sektor sukan, serta peranan belia yang lebih luas dalam memacu inisiatif kelestarian. Ucapan beliau dijangka menawarkan perspektif unik tentang cara tadbir urus dan kelestarian, terutamanya dalam melibatkan generasi pemimpin akan datang.

 

“Kami berbesar hati kerana Hannah Yeoh sudi menyertai persidangan tahun ini. Penyertaan beliau akan meningkatkan lagi dialog, khususnya mengenai kelestarian dan penglibatan belia, menjadikan persidangan kali ini lebih efektif untuk semua peserta,” tambah Akbar.

 

Cara Pendaftaran

Pendaftaran untuk Persidangan Tahunan 2024 kini dibuka. Pihak yang berminat boleh membuat pendaftaran melalui training@maicsa.org.my atau melayari laman web rasmi MAICSA di www.maicsa.org.my. Ikuti MAICSA di media sosial untuk maklumat terkini. - DagangNews.com