Penyasaran subsidi diesel mungkin penyebab jualan kenderaan komersial susut Ogos 2024 - RHB IB | DagangNews Skip to main content

Penyasaran subsidi diesel mungkin penyebab jualan kenderaan komersial susut Ogos 2024 - RHB IB

Penyasaran subsidi diesel mula dilaksanakan Jun tahun ini. - Gambar NAIM AZIZ/DagangNews
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 20 Sept - Penurunan jumlah jualan kenderaan komersial pada Ogos 2024 mungkin disebabkan oleh pelaksanaan penyasaran semula subsidi diesel, kata RHB Investment Bank.

 

"Prestasi mantap jualan volum industri (TIV) awal tahun hingga sekarang (YTD) disumbang oleh jualan kereta penumpang yang meningkat 8% tahun ke tahun (YoY), manakala jualan kenderaan komersial menurun 14% yang mungkin disebabkan oleh penarikan subsidi diesel," menurut firma itu dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Dalam laporan Persatuan Automotif Malaysia (MAA) mengenai TIV Ogos 2024 yang dikeluarkan semalam, jualan kenderaan komersial susut 22.6% kepada 5,525 unit berbanding 7,135 setahun lalu.

 

 

Menurut RHB Investment, bagi bulan Ogos, TIV sebanyak 71,162 unit direkodkan iaitu penyusutan 0.9% bulan ke bulan atau -2.3% YoY.

 

Katanya, jualan Ogos 2024 itu membawa angka TIV kepada 533,301 unit sejak awal tahun hingga sekarang iaitu pertambahan 5.9% berbanding setahun lalu. 

 

"Kebanyakan syarikat pengeluar kereta utama mengalami kejatuhan jualan unit kereta dengan Proton, Toyota dan Honda mengalami penurunan sebanyak 10%, 17% dan 5% YoY. 

 

"Sementara itu, Perodua merekodkan jualan bulanan tertinggi dengan mencecah bilangan unit sebanyak 34,700  (+11.6% YoY). 

 

"Jika tidak mengambil kira catatan syarikat pengeluar kereta kebangsaan terbesar tersebut, TIV pastinya akan susut sebanyak 13% YoY pada bulan Ogos," jelasnya.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Jualan kenderaan baharu di Malaysia pada Ogos 2024 susut 2.3% kepada 71,162 unit, kata MAA

 

Tambah firma penyelidikan itu, perolehan TIV dijangka semakin lemah bulan ke bulan bagi bulan September 2024 akibat penutupan sementara operasi kilang untuk tujuan penyelenggaraan oleh Perodua.

 

Kata RHB Investment, penutupan itu berlangsung serentak semasa cuti hujung minggu panjang baru-baru ini sempena sambutan Hari Malaysia. 

 

"Selain itu, perlu dimaklumkan bahawa Perodua sudah menjalankan penutupan sementara operasi kilang buat kali kedua tahun ini pada bulan April dan Jun lepas. 

 

"Perkara ini mengakibatkan TIV bagi bulan April dan Jun masing-masing berkurangan 16% dan 17% MoM," katanya.

 

Firma penyelidikan itu seterusnya berpendapat jualan kenderaan akan kembali normal pada tempoh separuh kedua dan mungkin jatuh 8% YoY. 

 

"Dengan ini, kami bertindak untuk tidak mengubah wajaran sektor 'Neutral' kami dan juga ramalan TIV 2024 sebanyak 790,000 buah.

 

"Bermaz Auto terus menjadi saham pilihan utama kami disebabkan oleh penilaian yang murah dan juga pulangan dividen sekitar 10% yang melepasi purata sector," ujarnya. - DagangNews.com