Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 28 April - Firma penyelidikan, CGS-CIMB Research menjangkakan kerugian bersih syarikat tenaga, Sapura Energy Berhad (SAPE) akan menguncup bagi tahun ini.
Ini selepas buku tempahan SAPE membayangkan catatan hasil sebanyak RM5.3 bilion bagi tahun kewangan 2022 (FY22), selari dengan asas pendapatan FY21, jelas penganalisisnya, Raymond Yap.
Ini bermakna, tambahan kerja-kerja daripada RM31.5 bilion yang direkodkan dalam pembidaan SAPE dapat melonjakkan lagi hasil kumpulan, kata Yap.
“Jumlah pembidaan dan prospek SAPE telah meningkat 80% sejak Januari 2020, menunjukkan pemulihan industri yang beransur-ansur.
“SAPE cuba untuk mendapatkan semula kos berkaitan COVID-19 sebanyak RM286 juta pada FY20 daripada pelanggannya menerusi tuntutan tempahan variasi, di mana akan menyumbang dalam FY22.
“SAPE juga memasukkan pemulihan kos COVID-19 ke dalam pembidaan pada masa akan datang untuk melindungi margin,” kata Yap dalam nota kajiannya hari ini.
Beliau juga menjangkakan Datuk Mohd. Anuar Taib yang pernah menerajui Shell dan Petroliam Nasional Berhad (Petronas), akan menambah baik prestasi operasi dan kewangan SAPE dari masa ke masa sebagai Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan.
Semalam, SAPE mencatatkan kerugian bersih yang lebih besar pada suku keempat tahun kewangan 2021 (4Q21) sebanyak RM242 juta disebabkan kos kejuruteraan dan pembinaan (E&C) yang lebih tinggi.
Prestasi sama ditonjolkan syarikat pada FY19 dan FY20 di mana masing-masing menyaksikan kerugian pada suku keempat yang lebih tinggi daripada suku-suku tahun lain.
Bagi prestasi sepanjang tahun, SAPE mencatatkan kerugian empat kali berturut-turut pada FY21 walaupun angkanya, RM314 juta secara signifikan lebih rendah berbanding kerugian dicatatkan pada FY20, RM1.4 bilion, menurut Yap.
“SAPE yakin bahawa hasil bagi FY22 akan melebihi rekod pada FY21 kerana kontrak-kontrak telah diperolehi, dan dalam masa sama terdapat pembidaan dan prospek yang menyusul,” tambah Yap.
CGS-CIMB tingkatkan penarafan ke atas saham SAPE daripada ‘kurangkan’ kepada pegang’ dengan sasaran harga (TP) dinaikkan kepada RM0.145.
Sementara itu, MIDF Research mengekalkan TP SAPE pada kadar RM0.16 sesaham, dengan saranan untuk 'beli' saham kumpulan.
Jelas penganalisisnya, Kifni Kamaruddin, perubahan ke atas unjuran pendapatan SAPE juga kecil.
“Kami terus melihat prospek SAPE secara positif berdasarkan persekitaran operasi di seluruh dunia yang bertambah baik sejak pertengahan 2020, dipacu oleh harga minyak yang lebih tinggi, melonjak secara signifikan kepada AS$60 setong, yang akan memberi manfaat kepada segmen E&C serta penerokaan dan pengeluaran (E&P) kumpulan.
“Dalam pada itu, SAPE juga berada dalam kedudukan baik untuk berpotensi memenangi lebih banyak kontrak berdasarkan kepakaran yang luasnya dalam menyediakan pelbagai perkhidmatan berkaitan minyak dan gas,” tambah Kifni.
Setakat 12.26 tengah hari, nilai saham SAPE menokok 3.85% kepada RM0.135. - DagangNews.com