Ada kemungkinan BNM naikkan OPR 0.25% pada 4Q21 | DagangNews Skip to main content

Ada kemungkinan BNM naikkan OPR 0.25% pada 4Q21

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 3 Dis. - Seiring pertumbuhan ekonomi yang dijangka pulih menjelang tahun hadapan, Bank Negara Malaysia (BNM) mungkin mula mengambil langkah untuk membawa dasar monetari kembali normal. 

 

Mengambil kira jangkaan inflasi yang turut meningkat, MIDF berpandangan BNM mungkin meningkatkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 0.25% pada suku keempat 2021 (4Q21) kepada 2.00%.

 

Mengekalkan OPR pada paras sangat rendah dalam jangka masa lama bukanlah pendekatan terbaik memandangkan ini boleh menyebabkan pinjaman bank meningkat kepada paras tidak sihat, ujar MIDF. 

 

“Ini mungkin memerlukan sedikit perhatian kerana hutang isi rumah di Malaysia kini berada pada paras membimbangkan, iaitu 87.5% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) setakat Jun 2020, iaitu tertinggi di Asia,” kata MIDF dalam nota kajiannya. 

 

BNM telah memotong OPR sebanyak 125 mata asas (bps) pada awal tahun ini kepada paras terendah dalam sejarah iaitu 1.75%, dikatakan bersesuaian dan akomodatif untuk merangsang pertumbuhan ekonomi pada tahun hadapan. 

 

Bagaimanapun, jangkaan 2% OPR oleh MIDF pada tahun hadapan masih lagi di bawah paras sebelum pandemik, mencatatkan kadar 3% hingga 3.25%. 


 

“Melangkah 2021, seperti panduan terkini Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS), kami menjangkakan tahap akomodasi dasar monetari akan tetap mencukupi.

 

“Manakala, BNM menekankan lagi komitmennya untuk menggunakan keupayaan dasar berpatutan dalam mewujudkan keadaan baik bagi pemulihan ekonomi mampan,” tambah MIDF. 

 

Di dalam senario itu, MIDF berkata, penilaian ekuiti akan kekal meningkat pada tahun akan datang ditunjangi faktor mudah tunai (liquidity). - DagangNews.com