Ada kemungkinan BNM potong OPR 25 hingga 50 bps | DagangNews Skip to main content

Ada kemungkinan BNM potong OPR 25 hingga 50 bps

KALI terakhir BNM membuat keputusan untuk menurunkan OPR adalah pada 7 Julai 2020.

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 9 Ogos - Terdapat sekurang-kurangnya 40% kemungkinan Bank Negara Malaysia (BNM) akan menurunkan lagi kadar dasar semalam (OPR) sebanyak 25 hingga 50 mata asas (bps). 

 

Kenanga Research membuat ramalan berkenaan selepas mengambil kira jangkitan COVID-19 domestik yang ketika ini kian meningkat terutamanya apabila kes varian Delta dikesan di Malaysia.

 

“Namun, buat masa ini, BNM dijangka mengekalkan OPR pada kadar 1.75% untuk perjumpaan ketujuh berturut-turut menjelang September depan kerana prospek ekonomi yang positif, memandangkan lebih banyak negeri dijangka dibenarkan beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dalam tempoh beberapa minggu akan datang ketika pengedaran vaksinasi negara bergerak pantas,” jelas firma itu dalam satu nota kajian.

 

Kali terakhir Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) di BNM membuat keputusan untuk menurunkan OPR adalah pada 7 Julai 2020, di mana kadar faedah itu diturunkan sebanyak 25 bps kepada 1.75% sebelum dikekalkan sehingga setakat ini. 

 

Ini merupakan paras terendah dalam sejarah dan sepanjang tahun lalu, Malaysia telah menyaksikan pemotongan OPR sebanyak empat kali berturut-turut bermula pada bulan Januari hingga Julai 2020 daripada kadar 3.00%.

 

Pada Jumaat lalu, bank pusat mengumumkan rizab antarabangsa BNM setakat 30 Julai tidak berubah dari 15 Julai 2021, berjumlah AS$111.1 bilion.  

 

Paras rizab itu memadai untuk membiayai 8.1 bulan import tertangguh dan 1.1 kali jumlah hutang luar negeri jangka pendek.

 

Menurut Kenanga lagi, rizab BNM berjaya mencecah rekod tertinggi dari segi ringgit, iaitu sebanyak RM461.8 bilion, melonjak RM0.3 bilion atau 0.1% berbanding bulan sebelumnya. 

 

Dalam pada itu, aset rizab lain turut menyaksikan peningkatan, namun hak pengeluaran khas (SDR) dan emas menyamai penurunan dalam rizab mata wang asing dan kedudukan rizab Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF). - DagangNews.com