KUALA LUMPUR 23 Sept.- Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mempersoal pengumuman yang dibuat Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa dirinya memperoleh majoriti kukuh untuk membentuk kerajaan baharu.
Jelas beliau, pengumuman sedemikian adalah bukan kali pertama dibuat Anwar kerana pernah melakukan perkara sama pada September 2008.
"Ini bukan kali pertama Anwar mendakwa bahawa dia mendapat sokongan majoriti.
"Kita harus tunggu dan lihat, adakah ini satu lagi episod dalam membuat dakwaan tanpa pembuktian," lapor The Edge Market.
Sementara itu, isu berkenaan turut mendapat maklum balas daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Setiausaha Agung GPS, Datuk Alexender Nanta Linggi berkata, GPS tidak pernah memberi sokongan kepada Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memperoleh majoriti kukuh untuk membentuk kerajaan baharu.
Tegasnya, GPS akan terus kekal berada dengan Perikatan Nasional (PN) di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Kita tiada kaitan dengan apa yang diumumkan oleh Anwar Ibrahim sebentar tadi.
"Please grow up, you are old enough to know, don't behave like a greenhorn politician ...," jelasnya seperti dipetik Astro AWANI hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan Anwar untuk berhenti bermain politik yang hanya akan mengelirukan rakyat serta mengakibatkan ketidakstabilan politik dan ekonomi negara.
Turut bersuara, Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Seri Azizah Mohd. Dun berkata, pengumuman yang dibuat Anwar itu hanyalah sandiwara semata-mata.
Malah, tindakan tersebut adalah bertujuan untuk mengganggu proses Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
"Jadi, apa yang disebut oleh Anwar Ibrahim itu satu cerita sensasi dan sandiwara... biasalah dia tu kan.
"Dulu pun dia (Anwar) pernah menyatakan 30 Ahli Parlimen Barisan Nasional menyertai PKR dan akan menubuhkan kerajaan pada 16 September tetapi itu semua sandiwara dia... permainan dia," jelasnya lagi. - DagangNews.com