Adukan kepada KSM jika majikan arah pergi kerja semasa PKPD  | DagangNews Skip to main content

Adukan kepada KSM jika majikan arah pergi kerja semasa PKPD 

 M. Saravanan. - Gambar Malay Mail (Yusof Mat Isa)

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 2 Julai - Sekiranya para pekerja masih diarahkan oleh majikan untuk hadir ke tempat kerja semasa Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), Kementerian Sumber Manusia (KSM) menekankan aduan boleh disalurkan menerusi aplikasi Working  for Workers (WFW). 

 

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan menegaskan bahawa majikan dikehendaki untuk mematuhi perintah ini dan membenarkan pekerja-pekerja untuk bekerja dari rumah (BDR).

 

“Para majikan juga digesa untuk mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan, khususnya dari segi penetapan kapasiti kehadiran pekerja ke pejabat atau tempat kerja seperti yang ditetapkan oleh kerajaan

 

“Pekerja  selain daripada perkhidmatan perlu (essential services) tidak dibenarkan  keluar dari kawasan PKPD dan tidak boleh bekerja di pejabat atau tempat kerja sepanjang tempoh PKPD,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Semalam, Menteri Kanan (Pertahanan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan penguatkuasaan PKPD di mukim-mukim di Selangor dan beberapa lokaliti di Kuala Lumpur selama 14 hari bermula 3 Julai 2021 sehingga 16 Julai 2021.

 

Tambah Saravanan, KSM menerima banyak aduan dari para pekerja bahawa mereka telah diugut oleh majikan untuk hadir bekerja seperti biasa dan kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan mereka diberhentikan kerja. 

 

Selain kategori aduan BDR, aplikasi WFW juga mempunyai 16 kategori aduan lain membabitkan isu perburuhan. 

 

“Bagi tempoh antara 23 Mei dan 1 Julai 2021, KSM melalui aplikasi WFW telah menerima 1,878 aduan berhubung majikan tidak membenarkan pekerja BDR.  

 

“Negeri yang merekodkan paling banyak jumlah aduan BDR adalah Selangor (696 aduan), diikuti Kuala Lumpur (505 aduan), Johor (196 aduan) dan Pulau Pinang (123 aduan). 

 

“Dari 1 Jun hingga 1 Julai 2021, sejumlah 59 kompaun yang berkaitan dengan ketidakpatuhan kepada kapasiti kehadiran pekerja ke pejabat atau tempat kerja telah dikeluarkan oleh agensi-agensi penguatkuasaan di bawah KSM seperti Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP),” katanya lanjut.

 

Seiring pelaksanaan PKPD, KSM akan mempergiatkan aktiviti penguatkuasaan melalui akta-akta di bawah kementerian. - DagangNews.com