ADUN PN Dengkil sumbang 3 bulan elaun ke tabung COVID-19 | DagangNews Skip to main content

ADUN PN Dengkil sumbang 3 bulan elaun ke tabung COVID-19

Adhif Syan Abdullah

KUALA LUMPUR 4 Jun - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perikatan Nasional (PN) Dengkil, Adhif Syan Abdullah menyumbang sepenuhnya elaun selama tiga bulan ke dalam Akaun Amanah Bencana bermula bulan Jun ini.

 

Beliau berkata, keputusan tersebut diambil mengikut kehendak peribadi selepas melihat keikhlasan serta kesungguhan usaha memerangi COVID-19 oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

 

"Mengambil inspirasi dari inisiatif Ahli Kabinet, barisan kepimpinan Kerajaan Persekutuan, ADUN-ADUN Perikatan Nasioanl (PN) serta penjawat awam yang prihatin, saya sebagai ADUN mewakili PN di Selangor akan menyumbang sepenuhnya elaun saya selama 3 bulan ke dalam Akaun Amanah Bencana bermula bulan Jun.

 

"Harapan saya adalah ADUN-ADUN PH dari Kerajaan Negeri Selangor (serta lain-lain negeri di seluruh negara) turut berbuat demikian bagi menunjukkan tanda solidariti terhadap usaha kerajaan melawan COVID-19.

 

"Saya sarankan ADUN-ADUN PH berhenti mencari kesalahan kerajaan sebaliknya mencontohi pemimpin PN dalam pengorbanan serta komitmen yang ditunjukkan dengan menyumbang elaun mereka kearah yang sama," jelas beliau dalam satu kenyataan hari ini.

 

Tambah beliau, Program Vaksinasi Negara sedang berjalan dengan lancar termasuk pembukaan pusat-pusat vaksinasi mega, pembelian vaksin oleh swasta, lori vaksin bergerak serta pelbagai usaha lain sedang dan akan diusahakan kerajaan.

 

Selain itu, Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (Pemerkasa PLUS) yang diumumkan Perdana Menteri juga banyak membantu rakyat yang terjejas disamping bantuan-bantuan lain yang diumumkan sebelumnya. 

 

"Justeru, untuk menuduh kerajaan gagal menguruskan wabak ini adalah tidak tepat sama sekali.

 

"Usaha memerangi COVID-19 sepatutnya merupakan satu usaha bersama. Jika pihak pembangkang tidak ada apa untuk disumbangkan, mereka tidak wajar mengganggu usaha cemerlang Kerajaan Persekutuan," tegas beliau. - DagangNews.com