KUALA LUMPUR 9 Jan - TA Securities memberikan nilai wajar kepada pengendali rangkaian kafe, Oriental Kopi Holdings Bhd pada 62 sen.
Penilaian tanpa penarafan tersebut adalah lebih tinggi sebanyak 40.9% daripada harga tawaran awam permulaan (IPO) 28 sen sesaham dengan kumpulan itu bakal disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 23 Januari 2025.
"Kami mengaitkan sasaran nisbah harga kepada pendapatan (PER) sebanyak 20.4X berdasarkan pendapatan sesaham (EPS) pada FY24," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Oriental Kopi yang membuka kafe pertamanya di Johor, kini mengendalikan 19 kafe di seluruh Semenanjung Malaysia, satu kedai runcit khusus di Johor, dan satu cawangan di Singapura.
Kumpulan itu terlibat terutamanya dalam perkhidmatan makanan dan minuman (F&B), menawarkan pelbagai hidangan tempatan, pastri dan minuman Malaysia seperti Kopi Oriental, tart telur, roti polo selain menampilkan sekitar 120 item makanan dan minuman.
Oriental Kopi turut terlibat dalam pengedaran dan peruncitan produk makanan pembungkusan berjenama pengguna di bawah jenamanya sendiri, 'Oriental' atau 'Oriental Kopi.'
Sehingga kini, kumpulan itu telah membangunkan portfolio produk yang terdiri daripada 26 unit penyimpanan stok (SKU) dalam segmen ini, dengan semua produk disahkan halal.
"Kumpulan itu merancang untuk memperntukkan sejumlah 29.2% atau RM53.69 juta hasil tawaran awam permulaan (IPO) bagi mewujudkan kemudahan operasi tiga tingkat di Selangor, yang akan menempatkan ibu pejabat, dapur pusat, dan gudang.
"Bangunan baharu itu, meliputi jumlah kawasan binaan seluas 108,448 kai persegi dan dijangka siap pada suku keempat 2026," katanya.
Oriental Kopi merancang mengembangkan rangkaian kafenya di Malaysia menggunakan 19.8% atau RM36.4 juta daripada dananya dan 2.7% lagi atau RM5 juta untuk mengembangkan segmen makanan bungkus.
Sementara itu, 41.2% atau RM75.78 juta daripada kutipan akan digunakan untuk modal kerja, 3% atau RM5.5 juta dikhususkan untuk aktiviti pemasaran di luar negara dan terakhir 4.1% atau RM7.6 juta bagi perbelanjaan penyenaraian.
Alliance Islamic Bank Bhd berkhidmat sebagai penasihat utama, penaja, penaja jamin tunggal dan ejen penempatan untuk pelaksanaan IPO. - DagangNews.com