Advancecon beli 51% kepentingan dalam operator kuari, Spring Energy | DagangNews Skip to main content

Advancecon beli 51% kepentingan dalam operator kuari, Spring Energy

Advancecon menjangkakan langkah pengambilalihan 51% kepentingan dalam Spring Energy dimuktamadkan pada suku keempat ini. 

 

 

 

KUALA LUMPUR 26 Okt. - Advancecon Holdings Bhd. memperoleh kelulusan pemegang saham dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) hari ini untuk mengambil alih 51% kepentingan dalam syarikat pengendali kuari, Spring Energy Resources Bhd. dengan pertimbangan pembelian sebanyak RM30.4 juta.

 

Pengambilalihan kepentingan itu akan dilaksanakan secara tunai, RM15.2 juta dan selebihnya pula menerusi terbitan 33 juta saham baharu Advancecon kepada vendor, Fook Hua Holdings Sdn Bhd (Fook Hua) dengan harga terbitan 46 sen sesaham.

 

Langkah tersebut yang dijangka selesai pada suku keempat ini mencerminkan hasrat Advancecon untuk meneroka perniagaan operasi kuari berbanding ketika ini tertumpu kepada perkhidmatan kejuruteraan awam dan kerja-kerja tanah.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Advancecon, Datuk Phum Ang Kia berkata, langkah tersebut dilihat tepat pada masanya memandangkan aktiviti pembinaan dan infrastruktur semakin meningkat di bawah Pelan Pemulihan Negara secara tidak langsung akan menambah permintaan bagi produk kuari. 

 

Katanya, dengan akses kepada operasi perniagaan kuari Spring Energy, ia akan menyediakan aliran pendapatan tambahan kepada kumpulan. 

 

"Dalam tempoh jangka sederhana, kami jangkakan untuk memperoleh bekalan bagi produk kuari bagi projek yang kami sedang jalankan di Selangor dan Pahang. 

 

"Bagi tempoh jangka masa panjang pula, kami berpeluang memperluaskan jangkauan bekalan kepada projek lain di sekitar tapak kuari," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Setakat 4 Oktober 2021, Spring Energy mengendalikan 6 operasi kuari di Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan dengan tempoh pajakan berbeza-beza hingga 2036.

 

Spring Energy bagaimanapun tidak memiliki mana-mana kuari. Ia merupakan penyedia perkhidmatan dan pengurusan operasi kuari bersepadu yang terlibat dalam kontrak operasi kuari, pemasaran dan pengurusan produk kuari serta menjalankan kerja-kerja kuari berkaitan kejuruteraan awam. - DagangNews.com