Aeon sambut Hari Kemerdekaan di pasar rayanya di seluruh negara | DagangNews Skip to main content

Aeon sambut Hari Kemerdekaan di pasar rayanya di seluruh negara


KUALA LUMPUR 2 Sept – Aeon Co. (M) Bhd. menyambut Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini bersama-sama dengan para pekerja serta para pelanggan dengan cara sederhana namun penuh bermakna.

 

Pada tanggal 31 Ogos 2021, tepat jam 12 tengah hari, segala aktiviti di pasar raya - pasar raya Aeon berhenti selama dua minit apabila Negaraku berkumandang dan semua yang mendengar berdiri tegak sambil menghayati dan memberi penghormatan kepada lagu kebangsaan serta simbolik sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2021 bagi melambangkan perasaan kecintaan terhadap negara.

 

Negaraku kedengaran penuh bersemangat di kesemua 28 Aeon Mall, 34 Aeon Stor, 22 Aeon BiG, 9 MaxValu Prime, 65 Aeon Wellness dan 42 Daiso di seluruh negara yang dinyanyikan secara serentak oleh ribuan Aeon Warriors serta pelanggan Aeon. Ini membuktikan biarpun dipisahkan oleh sempadan daerah dan negeri, rakyat tetap bersatu hati dan bersepakat dalam memperingati hari yang penuh bersejarah ini.

 

Sambutan dilaksanakan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kerajaan seperti pemakaian pelitup muka serta penjarakkan fizikal. 

 

Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif Aeon, Shafie Shamsuddin berkata, “Hari Kebangsaan tahun ini sedikit berbeza kerana ia bukan hanya berkenaan semangat nasionalisme sahaja tetapi juga semangat untuk membebaskan diri dari pandemik yang melanda. Dengan peningkatan kadar vaksinasi, kita kini berada di  landasan yang betul untuk mencapai imuniti kelompok.

 

''Kami ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua Aeon Warriors, rakan niaga serta para pelanggan Aeon yang telah bersama-sama dengan kami dalam memerangi wabak ini.”

 

“Marilah kita sama-sama BERSYUKUR kerana dapat meraikan detik-detik yang  penuh bermakna ini, serta terus cekal BERJUANG dalam menghadapi cabaran semasa dan BANGKIT membina negara untuk hari esok yang lebih baik,” ujar Shafie lagi.

 

 

aeon
Shafie Shamsuddin (tengah) dan Tsutomu Motomura, Timbalan Pengarah Urusan Aeon (kanan) menyertai warga Aeon meraikan Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos lalu.

 

 

Menurut Dr. Kasuma Satria Mat Jadi, Ketua Pegawai Sumber Manusia dan Pengarah Komunikasi Korporat Aeon, “Kami berusaha untuk turut memainkan peranan bagi memupuk semangat patriotisme di kalangan para pelanggan terutama generasi muda. Ini selaras dengan usaha Aeon yang memperjuangkan Matlamat Pembangunan Kelestarian Pembangunan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDG 16) yang mempromosikan masyarakat aman, adil dan inklusif dalam memastikan pembangunan yang berterusan.”

 

“Sehubungan dengan itu, dalam menyemarakkan lagi sambutan tahun ini, Aeon Mall Shah Alam menyediakan Kod QR gergasi bersaiz 1,000 kaki persegi bertempat di Centre Court dari sekarang hingga ke 16 September 2021.

 

Apabila diimbas menggunakan telefon pintar, para pelanggan akan berpeluang untuk menikmati lagu patriotik berentak kontemporari yang dihasilkan oleh Aeon bersama Awi Rafael berjudul ‘Ayuh Kita Merdeka 2.0’ nyanyian Aiman Tino, Mimy Fly dan beberapa orang lagi,” tambah Dr. Kasuma. 

 

 

aeon
Kod QR gergasi bersaiz 1,000 kaki persegi di Aeon Mall Shah Alam.

 

 

Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini bakal melakar sejarah Aeon yang tersendiri sekiranya Malaysia Book of Records mengesahkan dalam waktu terdekat yang ianya disenaraikan sebagai pemegang rekod ‘Cawangan Paling Banyak Menyertai Nyanyian Lagu Kebangsaan Secara Serentak’. 

 

Bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2021, Aeon menganjurkan kempen jualan dari 27 Ogos hingga 16 September yang bertemakan 
‘Bersyukur, Berjuang dan Bangkit’ dalam mendorong rakyat agar terus bersyukur, cekal berjuang menghadapi pandemik serta bangkit membina negara untuk hari esok 
yang lebih baik. - DagangNews.com