Margin keuntungan Dayang berisiko menyusut kesan pemotongan perbelanjaan modal Petronas, kata CIMB Securities | DagangNews Skip to main content

Margin keuntungan Dayang berisiko menyusut kesan pemotongan perbelanjaan modal Petronas, kata CIMB Securities

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 10 Jan - Margin keuntungan Dayang Enterprise Holdings Bhd berisiko menyusut kesan daripada pengurangan perbelanjaan modal (capex) Petroliam Nasional Bhd (Petronas), kata CIMB Securities.

 

Katanya, potensi kelewatan dalam pesanan kerja serta rundingan semula terma kontrak atau penetapan harga oleh Petronas juga boleh memberi tekanan kepada margin keuntungan kumpulan.

 

Firma penyelidikan itu berkata, ramalan buku pesanan Dayang juga mungkin dipengaruhi rundingan berterusan antara Petronas dan Petroleum Sarawak Bhd (Petros) berhubung pengagihan gas di Sarawak.

 

 

"Perkembangan ini berpotensi memperlahankan pelancaran belanjawan Petronas mulai tahun depan," katanya dalam satu nota kajian.

 

CIMB Securities menurukan ramalan pendapatan dan unjuran margin untuk kumpulan itu, walaupun mengekalkan saranan "beli" tetapi harga sasaran (TP) telah diturunkan kepada RM2.78 daripada RM4.30 sebelumnya.

 

"Bagi mencerminkan kebimbangan terhadap potensi pengurangan kos oleh PETRONAS, kami mengurangkan unjuran hasil tahun kewangan 2025 (FY25)-FY26 sebanyak 11%, dan mengurangkan unjuran margin keuntungan kasar dan bersih kami kepada 38% dan 19.2%–19.6% , masing-masing, daripada 44% dan 23.1%,” katanya.

 

Berikutan perubahan itu, CIMB Securities mengurangkan unjuran pendapatan FY25 dan FY26 untuk Dayang masing-masing sebanyak 26% dan 25.5%.

 

Firma penyelidikan itu berkata, andaian yang disemak itu adalah berdasarkan kemerosotan sektor sebelumnya, di mana capex Petronas yang lebih rendah telah menjejaskan prestasi Dayang.

 

Berikutan semakan pendapatan, ia menunjukkan bahawa TP yang diturunkan kini mencerminkan nisbah harga kepada pendapatan (PER) yang dikurangkan sebanyak 14 kali unjuran FY25, turun daripada 16 kali sebelumnya.

 

"Pada harga semasa, Dayang berdagang pada 11 kali ramalan FY25 PER dan ini mewakili diskaun 21.4% kepada purata lima tahunnya," kata firma penyelidikan itu.

 

Walaupun saranan "beli" dikekalkan berdasarkan penilaian yang menarik, pendedahan yang kukuh, kepakaran yang terbukti dalam penyelenggaraan medan minyak sedia ada dan kedudukan tunai bersih yang kukuh, yang menyediakan kapasiti yang besar untuk pengembangan buku pesanan.

 

Bagi suku ketiga berakhir 30 September 2024, keuntungan bersih Dayang meningkat kepada RM134.94 juta daripada RM76.38 juta pada tempoh yang sama sebelumnya, manakala hasil meningkat kepada RM448.51 juta daripada RM343.76 juta setahun sebelumnya. - DagangNews.com