KUALA LUMPUR 10 Jan - Khazanah Nasional memperuntukkan RM200 juta kepada Khazanah Youth Development Programme (K-Youth) tahun ini untuk melatih dan membangunkan 11,000 belia Malaysia dalam sektor utama termasuk semikonduktor, bagi melatih bakat golongan muda dalam bidang kritikal.
Inisiatif itu selaras dengan komitmen Khazanah untuk memajukan sektor semikonduktor negara sebagai sebahagian daripada Strategi Semikonduktor Nasional, yang bertujuan untuk meningkatkan ekosistem tempatan dan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pemimpin global dalam industri semikonduktor.
Usaha tersebut juga dibuat sebagai reaksi kepada kajian oleh Khazanah Research Institute (KRI) sejak 2021, yang mendedahkan Malaysia berdepan masalah kekurangan bakat berkemahiran tinggi yang diperlukan untuk menyokong pertumbuhan pesat industri berteknologi tinggi.
KRI melaporkan, banyak graduan dari jurusan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) kini bekerja dalam bidang yang tidak berkaitan disebabkan oleh kekurangan permintaan untuk pekerja mahir dalam sektor yang berkaitan, ditambah dengan penurunan pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D).
Selain itu, peluang pekerjaan dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E) juga terhad walaupun negara masih kekurangan bakat dalam industri berkenaan.
Pengarah Urusan Khazanah, Dato’ Amirul Feisal Wan Zahir berkata, pembangunan modal insan adalah penting untuk pertumbuhan dan kemajuan negara, selari dengan pelaburan strategik.
Katanya, tenaga kerja yang mahir meningkatkan produktiviti, merangsang inovasi dan meningkatkan daya saing Malaysia di pentas global.
"Sehubungan itu, Khazanah berbangga dengan inisiatif K-Youth dan 42MY melalui Dana Impak, di mana kami melabur dalam latihan dan perkembangan golongan muda untuk menyesuaikan diri dengan kemahiran IR4.0 serta meningkatkan kebolehpasaran mereka.
"Bakat-bakat muda ini hadir dari pelbagai latar belakang sosio-ekonomi dan kami berbesar hati untuk memberikan peluang ini bagi memperlengkapkan rakyat Malaysia dengan kemahiran yang diperlukan, membolehkan mereka mengakses pekerjaan berkualiti tinggi dan memupuk industri yang berdaya saing, seterusnya membantu Malaysia mencapai hasrat menjadi negara berpendapatan tinggi," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, Khazanah berhasrat untuk mencipta saluran bakat yang mampan melalui inisiatif peningkatan kemahiran dan pemantapan semula, sejajar dengan perkembangan pantas teknologi.
Jelasnya, kumpulan juga komited untuk memajukan sektor Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), bagi memastikan ketersediaan bakat untuk menyahut cabaran masa hadapan dan memberi sumbangan positif kepada matlamat pembangunan Malaysia.
K-Youth dilancarkan pada tahun 2023 sebagai kesinambungan inisiatif peningkatan dan pemberdayaan sebelum ini, bertujuan untuk meningkatkan kebolehpasaran belia dan melengkapkan mereka dengan kemahiran yang penting bagi pasaran pekerjaan hari ini serta melahirkan para graduan yang profesional dan sedia untuk industri.
Pada tahun pertama pelancarannya, K-Youth menarik minat 8,381 peserta (82% daripada kumpulan B40), di mana 83% daripada mereka berjaya mendapatkan pekerjaan dalam industri utama.
Program tersebut memanfaatkan bakat TVET dengan tiga objektif iaitu memberi tumpuan kepada industri utama seperti hospitaliti & perkhidmatan, jentera & peralatan serta digital & teknologi.
Ia turut menawarkan sokongan selama dua tahun kepada pelajar sebelum tahun akhir dan pelajar tahun akhir serta menyelaraskan kemahiran mereka dengan keperluan pasaran.
Manfaat ketiga pula menyediakan program peningkatan kemahiran untuk pusat kerjaya dan akademik di seluruh negara, bagi memastikan sektor-sektor dipadankan dengan bakat yang sesuai sambil meningkatkan kebolehpasaran belia dari institusi pembelajaran yang dikenal pasti.
Melalui inisiatif Dana Impak pula, komitmen Khazanah untuk memupuk bakat dan menyediakan Malaysia untuk masa hadapan merangkumi kerjasama dengan Sunway Education Group (SEG) dalam menubuhkan 42 Malaysia (42MY) pada tahun 2023, sebagai sebahagian daripada rangkaian global sekolah pengekodan 42.
Menawarkan model pembelajaran secara percuma, rangkaian 42 mempunyai lebih 50 kampus di lebih 30 negara dan boleh diakses oleh individu berumur 18 tahun ke atas dari semua latar belakang pendidikan dan sosio-ekonomi.
Model pembelajaran rakan sebaya yang inovatif itu menggalakkan kerjasama dan penyelesaian masalah, dengan kurikulum yang memfokuskan kepada pemikiran kritis, penyesuaian dan pengalaman praktikal.
Kampus 42MY kini berada di Kuala Lumpur (42KL), Iskandar Puteri (42 Iskandar Puteri) dan Pulau Pinang (42 Penang), dengan pelan pengembangan akan datang di Kuching dan Miri di Sarawak serta Kota Kinabalu di Sabah.
Dengan memupuk dan membangunkan bakat Malaysia, hasrat 42MY adalah untuk memperkukuh ekosistem pemula dan teknologi domestik, menyokong agenda ekonomi digital negara dan meningkatkan keupayaan dalam Industri 4.0 (IR4.0). - DagangNews.com