Jualan Starbucks Malaysia bertambah baik, lebih ramai pengguna semakin realistik - Vincent Tan | DagangNews Skip to main content

Jualan Starbucks Malaysia bertambah baik, lebih ramai pengguna semakin realistik - Vincent Tan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 10 Jan - Starbucks Malaysia menyaksikan peningkatan jualan selepas boikot di cawangannya semakin berkurangan, kata Pengasas Berjaya Group, Tan Sri Vincent Tan.

 

Beliau berkata, perkembangan positif itu disebabkan pengguna lebih realistik terhadap Starbucks Malaysia yang tiada sebarang kaitan antara syarikat itu dengan konflik yang berlaku di antara Israel-Palestin.

 

“Pengguna menjadi lebih realistik. Kami tidak boleh berbuat apa-apa tentang apa yang Israel lakukan, atau apa yang berlaku di Gaza.

 

 

“Pengguna sedar (Starbucks Malaysia) tidak mencederakan sesiapa.

 

“Jika Starbucks diboikot, bagaimana ia memberi kesan kepada Israel? AS akan menghantar lebih banyak wang kepada mereka,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Dapur Sup Brahmarpanam, hari ini.

 

vincent
Tan Sri Vincent Tan ketika pelancaran Dapur Sup Brahmarpanam di ibu negara pada 10 Januari 2025. 

 

Taikun perniagaan itu berkata, Starbucks Malaysia akan memberi fokus kepada usaha menyatukan perniagaannya dan mengalu-alukan pelanggan kembali ke kedainya.

 

Berjaya Food Bhd (BFood) menghadapi cabaran yang ketara apabila berlakunya boikot Starbucks Malaysia, yang dicetuskan oleh konflik Israel-Palestin, telah memberi kesan besar kepada operasinya, memandangkan jenama itu pernah menyumbang 90% daripada pendapatan kumpulan.

 

Tiga bulan lalu, BFood menafikan terpaksa menutup lebih daripada 100 cawangan Starbucks di Malaysia secara kekal, berkata "hanya beberapa" telah menghentikan operasi manakala kebanyakannya hanya ditutup buat sementara waktu.

 

Pada Ogos 2023, syarikat itu dilaporkan menutup tiga cawangan Starbucks secara kekal dan menggantung sementara operasi di 25 kedai berprestasi rendah akibat boikot.

 

Starbucks adalah antara beberapa rangkaian yang berpangkalan di AS, termasuk McDonalds dan Burger King, yang telah diboikot oleh rakyat Malaysia yang marah dengan sokongan AS terhadap pencerobohan Israel ke atas Gaza.

 

Sebelum ini, Vincent merayu kepada rakyat Malaysia untuk berhenti memboikot Starbucks kerana ia hanya merugikan penduduk tempatan yang bekerja di syarikat itu. Kira-kira 85% kakitangannya beragama Islam.

 

Dalam perkembangan berasingan, beliau berkata, perbincangan sedang dijalankan bagi mencari rakan kongsi baharu untu projek kereta api berkelajuan tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura.

 

Ini berikutan penarikan balik Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB) daripada konsortium yang diketuai oleh Berjaya Corporation Bhd bulan lepas.

 

Beliau menegaskan, tiada sebarang keputusan dibuat walaupun matlamatnya adalah untuk membawa masuk "rakan kongsi yang baik" ke dalam konsortium di tengah-tengah minat daripada syarikat lain.

 

MRCB pada mulanya merupakan sebahagian daripada konsortium yang ditubuhkan untuk menyusun cadangan konseptual yang tidak mengikat untuk projek itu.

 

Konsortium itu kini terdiri daripada Berjaya Rail Sdn Bhd, Keretapi Tanah Melayu Bhd, IJM Corp Bhd, Deutsche Bahn, Hitachi Rail dan Hyundai Rotem.

 

Dalam pada itu, Vincent berkata, U Mobile Sdn Bhd tidak akan segera meneruskan perkongsian dengan Maxis Bhd atau CelcomDigi Bhd bagi melancarkan rangkaian 5G kedua.

 

Bagaimanapun, dia tidak menutup sepenuhnya peluang untuk bekerjasama dengan dua syarikat gergasi telekomunikasi itu.

 

“(Tiada perbincangan) buat masa ini tetapi kita tidak akan pernah tahu,” kata pengerusi U Mobile itu.- DagangNews.com