Bekas CEO Perbadanan Sukan Sarawak, Awang Putrayusrie dilantik sebagai Pengarah baharu UKAS | DagangNews Skip to main content

Bekas CEO Perbadanan Sukan Sarawak, Awang Putrayusrie dilantik sebagai Pengarah baharu UKAS

Awang Putrayusrie Awang Redzuan. Gambar/FB Unit Komunikasi Awam Sarawak - UKAS
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 10 Jan - Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) merangkap Pengarah Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS), Awang Putrayusrie Awang Redzuan dilantik sebagai Pengarah baharu Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) berkuat kuasa 2 Januari 2025.

 

Menurut UKAS, beliau menggantikan Samuel Simon yang dilantik sebagai Setiausaha Akhbar Kanan kepada Yang Dipertua Negeri Sarawak.

 

"Serah tugas simbolik antara Awang Putrayusrie dan Samuel telah disaksikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Korporat, Maklumat dan Unit Komunikasi Awam), Datuk Abdullah Saidol pada 2 Januari lalu di Ibu Pejabat UKAS di Bangunan Baitulmakmur," menurut kenyataan tersebut.

 

Sementara itu, Awang Putrayusrie berkata, tugas sebagai Pengarah UKAS adalah satu amanah besar dan beliau berjanji untuk berusaha sebaik mungkin dalam melaksanakan tanggungjawab yang diberikan.

 

"Saya menyedari bahawa tugas ini adalah satu cabaran besar bagi saya. Oleh itu, saya amat menghargai sokongan, pertimbangan, panduan dan nasihat daripada seluruh warga UKAS.

 

"Saya bertekad untuk berusaha sebaik mungkin, memastikan segala amanah yang dipertanggungjawabkan kepada UKAS dapat dilaksanakan dengan jayanya, bersama-sama dalam satu pasukan," ujarnya. - DagangNews.com