SWA Shipping diberi masa sehingga 25 Februari 2025 lengkapkan perjanjian jual beli dengan Pos Logistics | DagangNews Skip to main content

SWA Shipping diberi masa sehingga 25 Februari 2025 lengkapkan perjanjian jual beli dengan Pos Logistics

Gambar/Pos Logistics
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 10 Jan - SWA Shipping Sdn Bhd mempunyai masa sehingga 25 Februari 2025 untuk memenuhi perjanjian jual beli (SPA) bernilai RM123.21 juta dengan Pos Logistics Bhd, sebuah anak syarikat Pos Malaysia Bhd.

 

Pos Malaysia berkata, kegagalan mematuhi tarikh akhir tersebut boleh menyebabkan pembatalan perjanjian dan kehilangan deposit.

 

"Pos Logistics telah mengeluarkan notis yang memerlukan SWA Shipping memenuhi syarat SPA dalam tempoh 30 hari perniagaan, berakhir pada 25 Februari 2025.

 

"Sekiranya pembeli gagal melaksanakannya, Pos Logistics berhak membatalkan perjanjian jual beli dan mengambil deposit bersama sebarang faedah yang diperoleh (jika ada)," menurut kenyataan Pos Malaysia kepada Bursa Malaysia.

 

Perjanjian tersebut melibatkan cadangan penjualan keseluruhan 49 juta saham milik Pos Logistics dalam PNSL Bhd, sebuah unit penyewaan kapal yang memberi tumpuan kepada kargo pukal, kepada SWA Shipping dengan nilai RM123.21 juta.

 

Pos Malaysia menyatakan, penjualan berkenaan sebagai peluang untuk membuka nilai aset bukan teras, memperkukuhkan aliran tunai kumpulan dan meningkatkan pendapatan masa hadapan.

 

Ia dibuat bagi membolehkan Pos Malaysia menyusun semula portfolio mereka dengan keluar daripada perniagaan bukan teras, dengan urus niaga PNSL menjadi sebahagian daripada strategi lebih luasnya. - DagangNews.com