Aerotrain KLIA kembali beroperasi menjelang 31 Januari 2025 - Anthony Loke | DagangNews Skip to main content

Aerotrain KLIA kembali beroperasi menjelang 31 Januari 2025 - Anthony Loke

Aerotrain KLIA kembali beroperasi Januari depan. -Gambar media sosial BERNAMA

KUALA LUMPUR 2 Sept - Perkhidmatan Aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang dijangka beroperasi semula menjelang 31 Januari 2025 setelah dihentikan sejak Mac 2023.

 

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, dua set Aerotrain telah tiba minggu lalu dan kini sedang memasuki fasa pemasangan sebelum seterusnya kepada fasa pemeriksaan.

 

“Fasa ini mengambil masa kira-kira empat bulan dan jika semuanya berjalan lancar, kita jangka Aerotrain mula beroperasi pada 31 Januari tahun depan,” katanya selepas meninjau dan memeriksa Aerotrain baharu di Terminal 1 KLIA hari ini.

 

Menurut beliau, pemeriksaan dinamik akan dimulakan pada Oktober ini, dengan Aerotrain akan diuji menggunakan trek sebenar serta melakukan perkhidmatan ulang-alik.

 

“Sehubungan itu, saya ingin menjelaskan kepada penumpang dan orang ramai supaya sekiranya melihat Aerotrain beroperasi, ia adalah ujian untuk memastikan kesemuanya berjalan lancar,” jelasnya.

 

loke
Loke Siew Fook di CRRC Puzhen Alstom Transportation Systems Ltd. (PATS) pada Oktober 2023 bagi menilai kemajuan Aerotrain KLIA yang sedang dalam pembinaan untuk MAHB. -Gambar ALSTOM

 

ARTIKEL BERKAITAN: Aerotrain KLIA dijangka kembali beroperasi pada suku pertama 2025 - Kementerian Pengangkutan

 

Loke berkata, Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) perlu melaksanakan pemantauan rapi dan memastikan semua proses serta ujian dijalankan dengan baik supaya tidak ada lagi kelewatan.

 

“Tahun depan adalah tahun utama untuk negara kerana akan mempengerusikan ASEAN dan mesyuarat antarabangsa dan tentunya kita mengharapkan Aerotrain ini bersedia,” katanya.

 

Kata belia, secara keseluruhannya, MAHB akan menerima tiga set Aerotrain dan setiap set mempunyai tiga koc yang boleh menampung kapasiti seramai 270 penumpang.

 

“Set yang ketiga akan tiba pada Oktober dan dijadikan tren simpanan,” katanya. 

 

Beliau berkata, perkhidmatan bas pengantara yang sebelum ini digunakan untuk menggantikan Aerotrain akan diteruskan sebagai opsyen kepada penumpang berikutan pergerakan besar penumpang pada masa ini.

 

Pada Mac 2022, MAHB mengumumkan telah menganugerahkan Projek Penggantian Aerotrain KLIA, yang mempunyai garis masa untuk disiapkan selama tiga tahun.

 

Bagaimanapun, projek berkenaan mengalami kelewatan dan disusuli dengan penganugerahan projek baharu pada Januari 2024 kepada konsortium merangkumi Alstom, pengeluar peralatan asal Aerotrain dan JMC-Pestech JV untuk mengendalikan projek itu agar kembali kembali ke landasan asal.

 

Perkhidmatan Aerotrain sebelum ini yang beroperasi sejak 1998 sering mengalami gangguan perkhidmatan dan menimbulkan rungutan ramai. - DagangNews.com