Affin Hwang negatif mengenai cadangan Axiata ambil alih menara telekomunikasi Filipina bernilai RM3.42 bilion | DagangNews Skip to main content

Affin Hwang negatif mengenai cadangan Axiata ambil alih menara telekomunikasi Filipina bernilai RM3.42 bilion

KUALA LUMPUR 21 April - Affin Hwang Capital negatif mengenai cadangan anak syarikat Axiata Group Berhad, edotco Group Sdn. Bhd. mengenai cadangan pengambilalihan menara telekomunikasi Filipina pada harga RM3.42 bilion.

 

Firma itu berkata, pengurusan Axiata sememangnya berhasrat untuk melihat edotco mengembangkan portfolio menaranya secara organik dan bukan organik dan Filipina merupakan antara sasaran pasarannya.

 

"Menurut pandangan kami, pengambilalihan itu adalah selari dengan rasional dan strategi mereka (peluang kolokasi, kepelbagaian pasaran baharu yang stabil).

 

"Walaupun prospek jangka panjang aset menara Filipina ini sangat menggalakkan namun memberi kesan kepada pendapatan semasa Axiata akibat susut niai dan belanja pelunasan yang tinggi serta kos kewangan yang tinggi.

 

"Berdasarkan kepada kenyataan pro-forma 2021, pengambilalihan itu akan mengurangkan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) sebanyak RM152 juta dan atas dasar itu, kami berpandangan negatif terhadap cadangan pengambilalihan itu," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Sementara itu, Affin Hwang berkata pengambilalihan itu akan meningkatkan hutang kasar pro-forma 2021 Axiata kepada pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan nisbah pelunasan kepada 2.56 kali daripada 2.87 kali.

 

"Bagi mengurangkan kos, pihak pengurusan sedang mempertimbangkan untuk membawa rakan kongsi untuk pelaburan menara Filipina dan sedang menilai beberapa usaha untuk mengoptimumkan portfolio mereka.

 

"Bagaimanapun, kumpulan itu tiada perancangan untuk menyenaraikan edotco buat masa ini kerana mereka perlu merangka strategi untuk beberapa pasaran seperti Myanmar," katanya.

 

Pasaran Myanmar menyumbang 15% daripada hasil 2021A edotco (akan dicairkan kepada 13% selepas pengambilalihan menara Filipina), tambahnya.

 

Affin Hwang mengurangkan unjuran pendapatan Axiata untuk 2022-2024 antara 2% hingga 7% selepas mengambil kira cadangan pengambilalihan itu.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'pegang' untuk Axiata pada harga sasaran (TP) lebih rendah sebanyak RM3.85. - DagangNews.com