Affin Hwang semak naik unjuran pendapatan Malayan Cement sebanyak 12% bagi FY23 hingga FY25 | DagangNews Skip to main content

Affin Hwang semak naik unjuran pendapatan Malayan Cement sebanyak 12% bagi FY23 hingga FY25

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 6 Julai - Affin Hwang Capital menyemak naik unjuran pendapatan Malayan Cement Berhad sebanyak 12% bagi FY23 hingga FY25 selepas mengambil kira faktor harga arang batu lebih rendah.

 

Firma itu bagaimanapun berkata, unjuran untuk FY25 kekal rendah kerana mereka secara konservatif memasukkan pertumbuhan jumlah jualan yang lebih kecil. 

 

"Walaupun mengambil kira hasil yang lebih rendah daripada purata harga jualan (ASP) simen yang lebih rendah, unjuran pertumbuhan pendapatan kami akan didorong oleh sebaran antara ASP dan kos pengeluaran.

 

"Dari segi jumlah jualan, kami menjangkakan jualan mendatar, dengan jumlah tahunan lapan juta tan untuk anggaran FY23-FY24, sebelum melihat sedikit peningkatan pada FY25 berikutan pemberian kontrak pembinaan kerajaan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Untuk FY23-FY25, firma itu menjangkakan harga simen berada pada purata RM350, RM280, RM260 bagi setiap tan, harga arang batu terma Indonesia pada purata AS$285, AS$165, AS$145 setiap tan dan jumlah jualan purata 8 juta hingga 8.3 juta tan.

 

Firma itu percaya anggaran pendapatan kumpulan berada pada penghujung konservatif buat masa ini, kerana kelonggaran berterusan dalam harga arang batu sepatutnya memberikan peningkatan kepada pengembangan margin selanjutnya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'beli' terhadap kumpulan itu dengan harga sasaran (TP) lebih tinggi iaitu RM3.65 sesaham berbanding RM3.30.

 

"Kami kekal positif terhadap penentuan harga sektor itu ditambah dengan persekitaran kos yang lebih menggalakkan," katanya.  - DagangNews.com